Listening to : THR Gegar || Sinar FM || Era FM || Hitz FM || Hot FM || Suria FM
PLEASE CLICK LIKE IF YOU REALLY LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.
THANKS 4 UR LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.

Busuk Dot Org

power by:
Showing posts with label Berita Harian. Show all posts
Showing posts with label Berita Harian. Show all posts

Serasi dan sehaluan

Buat bacaan anda semua, ruangan HIBURAN @ JOEY39 nie semakin membesar nampaknya, selalu ajer ader posting atau pun entri melibatkan dunia artis tempatan. Akan tetapi, setiap bahan yang dipaparkan adalah berdasarkan sumber yang betul bukan hasil penulisan joey39, tapi hasil kerja tangan dan idea penulis profesional di dalam bidang hiburan dan penulisan sendiri.

Jadi untuk entri hari nie, apa yang akan joey39 paparkan adalah artikel hiburan daripada Berita Harian Online yang ditulis oleh Zaidi Mohammad

KEMBARA seni mereka baru bermula. Baik Sharnaaz Basir Ahmad, mahupun Nur Fathia, kedua-duanya memang boleh dianggap baru dunia hiburan ini. Tetapi saban hari, kelibat dan pesona mereka mula meraih perhatian peminat, penerbit, pengarah serta stesen TV.

Bulan ini genap dua tahun Sharnaaz berkecimpung sebagai pelakon. Fathia pula hampir dua tahun memilih laluan menjadi pelakon dan pada masa yang sama membahagi masa sebagai pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kebetulan ketika sesi fotografi yang diaturkan ini juga mempunyai persamaan nyata, iaitu kedua-duanya adalah anak jati kelahiran Pulau Pinang. Sharnaaz berasal dari Datuk Keramat, manakala Fathia pula dari Ayer Hitam. Penangan dan tuah pelakon dari pulau mutiara ini juga semakin menyerlah kebelakangan ini.

Wajah mereka di kaca TV juga cukup meriah. Cuma di layar perak, bakat Sharnaaz mula agak menonjol selepas kemunculannya menerusi filem Seru. Ternyata lakonannya dipuji ramai. Fathia pula masih menunggu filem sulungnya, Al Hijab untuk ditayangkan.

Begitu juga di sudut pengiktirafan. Sharnaaz mendahului Fathia kerana disenaraikan sebagai Top 5 kategori Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 bersama Daus, Maulana, Shahz Jaszle dan Shahir.

Malah menerusi pencalonan itu juga, Sharnaaz memanfaatkan ruang terbaik baginya untuk melobi serta memperkenalkan diri dengan lebih menonjol di kalangan peminat seni. Hingga kini Sharnaaz bersyukur dan terus berterusan memastikan kerjaya seninya bertahan ke satu tahap lebih membanggakan.

“Saya harus berterima kasih kepada rakan media, termasuk Berita Harian yang memberi peluang untuk saya meneroka ruang seni sebaik mungkin. Sekalipun tak menang, perasaan dan memori itu satu pengalaman indah yang tak boleh saya lupakan,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Kasih Alia terbitan JS Pictures bersama Sheila Rusly, Yatt Hamzah, Iqram Dinzly, Fida dan Irma Hasmie.

Drama 26 episod itu akan disiarkan pada Ramadan ini. Disebabkan komitmen selama dua bulan untuk wataknya dalam drama itu, membuatkan Sharnaaz menolak secara baik lima tawaran berlakon drama dan filem.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki ini. Kerjaya seni juga semakin teratur selepas saya diuruskan syarikat Groomworks. Insya-Allah, kalau jadi seperti yang dirancang saya akan ke lokasi filem kedua berjudul Azazil terbitan Filmscape hujung bulan ini, dan pertama kali bekerja di bawah arahan Kabir Bhatia,” katanya yang kini membuat latihan intensif untuk persiapan menyertai KL Maraton pada 26 Jun ini.

Jurang bayaran sungguh besar

Dalam keseronokan menikmati kerjaya seninya, pelakon ini juga tidak mampu menyembunyikan sedikit keluh kesah yang mula berlegar di benak fikirannya.
Katanya, dia masih kecewa dengan sikap prejudis sesetengah pihak produksi terutama dalam soal bayaran.

“Sekarang saya mula faham dengan cakap bapa bapanya pernah bergelar gitaris untuk kumpulan Teruna Ria) mengenai sesetengah artis Melayu yang susah nak cari makan. Budaya nak tolong kawan-kawan atau bersikap lebih kurang masih tebal dalam budaya kerja seni kita.

“Dalam hal ini bukan nak meminta-minta dalam perihal bayaran. Tetapi seseorang di kalangan anak seni perlu bangkit untuk menyuarakan hal ini. Masih ada pelakon yang menerima bayaran tidak setimpal dengan hasil kerja yang diberikan.

“Jurang di antara pelakon biasa dengan yang dikelaskan popular memang terlalu besar. Saya faham ada kelas bayaran yang sudah dicipta. Tapi janganlah sampai terlalu jauh jurang itu. Kalau dalam perkhidmatan kerajaan pun ada kenaikan tangga gaji. Takkan bayaran yang kami terima harus statik di satu nilai saja,” katanya dalam nada kecewa.

Mengalih bicara mengenai Fathia, Sharnaaz menyifatkan si jelita itu sebagai seorang yang mempunyai kelas dan karismanya yang tersendiri. Katanya lagi, Fathia mempunyai aura istimewa dan ciri semula jadi yang dimilikinya juga sesuatu yang tidak dibuat-buat.

“Saya pernah dengar kami mahu disatukan dalam sebuah drama. Tetapi ia masih belum jadi kenyataan. Saya sendiri tak menolak peluang untuk bergandingan dengannya. Apatah lagi dia pun satu kapal (satu negeri) dengan saya.

“Malah saya juga teringin untuk melihat pelakon kelahiran Utara generasi baru seperti saya, Fathia, Scha Alyahya, Azad Jasmin bersatu dalam drama komedi contohnya. Mesti gempak jadinya. Tapi itu semua hanya angan-angan saya.

“Oh sebelum terlupa, saya sebenarnya teringin nak berlakon dengan Nazeera Musa (dulu dikenali dengan Ummi Nazeera). Saya melihatnya sebagai seorang pelakon yang bagus dan mempunyai karakter. Dia membayangkan saya kepada pelakon zaman dulu atau macam sudah lama berlakon,” katanya yang mengimpikan watak lasak seperti yang dilakonkan Shaheizy Sam sebagai Tumulak dalam filem Kongsi.

Takut dengan persepsi penonton

Sementara itu, Fathia yang kini sedang menghabiskan baki penggambaran drama 13 episod berjudul Stanza Cinta mula resah dengan persepsi masyarakat karakter wanita bertudung yang kerap dipegangnya selama ini.

Bermula daripada iklan syampu hinggalah kepada drama Nur Kasih, Dea Sofea, Laila Asyikin, Hani, Hotel Hasanah dan termasuk Stanza Cinta semuanya menuntut wanita bernama Nur Fathia Abd Latiff ini mengenakan tudung.

Pendek kata, lebih 80 peratus menuntutnya memegang watak sebegitu.

“Saya tahu soal bertudung ini memang sensitif. Saya takut andai kata selepas ini saya menerima watak tidak bertudung, akan wujud pandangan negatif pula. Orang mula anggap saya bertudung sedangkan saya tidak begitu.

“Apabila saya keluar di khalayak ramai, ada yang tidak kenal. Betapa besar impak bertudung itu kerana orang lebih kenal karakter sebegitu berbanding diri sendiri.

Tambah pula, kebelakangan ini saya asyik menerima tawaran bertudung,” akuinya yang ketika dihubungi sedang berada di lokasi penggambaran drama arahan Along Kamaruddin.

Mengenai drama Stanza Cinta, Fathia tanpa berselindung mengakui sudah lama menanti peluang untuk berlakon di sisi Aaron Aziz. Drama itu turut dibintangi Fizz Fairuz.

“Saya sebagai Amni di dalam drama ini. Hasrat untuk berlakon dengan Aaron menjadi kenyataan menerusi drama ini,” katanya.

Sebelum mengakhiri bicara, Fathia diusik Sharnaaz adakah dia juga tidak tidak menolak peluang untuk berlakon di sisi hero kacak itu. Memang sepatutnya mereka digandingkan di dalam sebuah drama tetapi belum ada ‘jodoh’ bersama.

“Dia antara hero pelapis yang semakin mendapat perhatian. Saya pernah menonton lakonannya di TV. Dia mempunyai pakej untuk pergi jauh. Saya tumpang bangga dengan prestasi seninya,” katanya yang bercita-cita untuk bergelar peguam.

Thanks

READ MORE- Serasi dan sehaluan

Neelofa lagi....

Neelofa atau Lofa makin popular nampak nya dengan kisah-kisah hidupnya yang seakan-akan tiada kesudahan meski pun baru jer menerjah ke alam keglamoran sejak menjuarai pencarian Dewi Remaja 2010.

Kali ni kisah keluar lagi kat ruangan BiPoP Berita Harian edisi 06 June 2011 sebagai cover girl ruangan sisipan akhbar berkenaan. So, sebagai seorang yang meminati Lofa, aku mohon izin pihak Berita Harian untuk berkongsi cerita Lofa ini di ruangan JOEY39 jugak.

'Duda kenalan rapat keluarga'
Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my
2011/06/05

Sangkal dakwaan sengaja jaja kisah sensasi

ENTAH di mana silapnya, tiba-tiba saja nama bintang baru ‘ciptaan’ sutradara Aziz M Osman, Neelofa, 22, menjadi sebutan kebanyakan wartawan gara-gara sikapnya sejak kebelakangan ini yang dikatakan terlalu gemar menjaja kisah peribadi lebih-lebih lagi cerita cintanya dengan beberapa pemuda hebat termasuk VIP dan kerabat diraja.

Neelofa atau Lofa dianggap bertuah kerana memiliki pakej seorang pelakon yang menjadi buruan pengarah filem dan drama, sepatutnya dia menggunakan kelebihan itu untuk memantapkan kerjaya, bukannya meraih publisiti murahan atas kecantikannya sehingga ada yang mendakwa beliau sanggup mereka cerita kononnya beberapa jejaka berstatus elit sanggup meninggalkan kekasih mereka kerana memburu cintanya.

Di awal kemunculan Lofa dalam industri hiburan, dirinya sudah pun terpalit dengan kontroversi apabila didakwa menjadi orang ketiga percintaan antara aktor baru Shahz Jaszle dengan pelakon seksi Maria Farida, sekali gus dia menerima publisiti meluas di dada akhbar dan majalah hiburan meskipun bakat lakonannya belum lagi teruji, namun itulah kelebihan beliau apabila kisah sensasi seumpama itu berjaya melonjakkan lagi namanya.

Kini, Lofa dilihat seakan-akan memerlukan publisiti sepanjang masa apabila dia dikatakan rela ‘memalu kompang’ memberitahu orang di sekelilingnya, dia adalah puteri jelita yang menjadi idaman putera raja. Tidak keterlaluan apabila ada pihak yang melabel Lofa sebagai ‘pemburu perhatian’ yang mahu dirinya terus menjadi tumpuan media massa sekalipun terpaksa menjaja kisah dongeng.

Sikap Lofa yang dikatakan berangan hebat itu pastinya tidak disenangi beberapa individu yang bekerja dengannya. Daripada risikan, seorang artis senior kini menahan sabar dengan sikapnya itu. Lofa kononnya cuba melakukan provokasi terhadap artis berkenaan dalam usahanya meraih perhatian wartawan, namun tidak mendapat balasan pelakon itu.

Mulut Lofa juga dicanang lancang, khabarnya seorang pengarah hebat nyaris kehilangan aktor popular daripada produksinya gara-gara keceluparan dia berkata-kata. Itu belum cerita Lofa yang kini sudah berani datang lewat ke lokasi penggambaran. Dia dikatakan menimbulkan kemarahan beberapa artis dan kru baru-baru ini apabila tidak mematuhi call time yang diberikan kepadanya. Disiplin kerja Lofa dikhabarkan amat mengecewakan.

Wah! Hebat sungguh kisah negatif Lofa yang disampaikan ke telinga penulis. Sukar hendak mempercayai segala dakwaan yang dilemparkan kerana sejak mengenali Lofa awal tahun ini, dia sentiasa menampilkan sisi terbaik dirinya apabila bertemu, namun apabila disogok dengan pelbagai cerita tidak enak daripada sumber wartawan sendiri, kepercayaan penulis kepadanya mula goyah, namun sangat berminat untuk mengetahui sejauh mana kesahihannya.

Di awal perbualan, Lofa lebih cenderung untuk menjelaskan tahap disiplinnya yang dikatakan semakin merudum. Katanya, dia baru selesai membintangi drama bersiri 13 episod, Kitab Cinta arahan Erma Fatima. Dia yakin, cerita kononnya beliau lewat ke lokasi penggambaran sebenarnya tercetus ketika pembikinan drama berkenaan. Tambahnya lagi, dalam masa sama, dia juga terbabit dalam penggambaran filem King Kapchai terbitan KRU Studios.

“Bukan masalah jadual drama dan filem bertembung, sebaliknya produksi menempah jadual saya untuk lima hari penggambaran, namun mereka minta satu hari tambahan kerana penggambaran belum selesai. Call time saya untuk Kitab Cinta jam 11 pagi, manakala King Kapchai sebelah malam, jadi saya perlu selesaikan penggambaran sebelum jam 4 petang.

“Saya hadir ke lokasi drama sebelum jam 11 pagi. Tapi, ada kru yang membawa mulut kononnya saya lambat kerana call time sebenarnya 8 pagi. Apabila artis dan kru produksi lain dapat tahu, mereka bengang kerana menganggap saya benar-benar lewat ke lokasi sehingga mereka terpaksa menunggu lama. Justeru, gara-gara mulut seorang kru, saya dikatakan tidak berdisiplin, gagal patuhi call time” jelasnya memperbetulkan keadaan.

Sebelum ini berkali-kali Lofa membuat penafian, dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan Shahz Jaszle, sekadar teman rapat sesama rakan artis saja, tapi ada mata sudah terpandang kelibat Shahz menjemput Lofa di lokasi Kitab Cinta. Apa penjelasan Lofa dalam hal ini, adakah dia seorang yang gemar berdolak-dalik ketika memberikan kenyataan asal saja beliau memperoleh publisiti?

“Saya ada kereta sendiri, lengkap dengan GPS (Global Positioning System). Saya juga tak ada pembantu peribadi mahupun pemandu peribadi, ke mana saja saya pergi seorang diri. Jadi, cerita kononnya Shahz (Jaszle) pernah menjemput saya di lokasi Kitab Cinta, ternyata dakwaan itu tidak benar sama sekali,” ujar Lofa memperbetulkan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Lofa dikatakan gemar menjaja cerita peribadi, terbaru dia mendakwa seorang duda berstatus VIP sanggup meninggalkan kekasihnya semata-mata menagih cinta daripadanya. Mendengar tuduhan itu, Lofa ketawa besar, sekali gus menafikan perkara itu sekeras-kerasnya apabila dia mendakwa duda berkenaan sehingga kini masih dengan kekasih lamanya.

“Sekiranya benar perkara ini terjadi, kenapa duda atau kekasihnya itu tidak pernah menghubungi saya? Orang sengaja bawa mulut dan mereka-reka cerita. Saya tak tahu, kenapa diri saya sering menjadi sasaran. Saya masih waras, saya tak pernah menjaja cerita kononnya duda berkenaan menagih cinta daripada saya.

“Namun, saya tak nafikan, duda berkenaan adalah kenalan rapat keluarga saya. Jadi, kami pernah keluar makan ramai-ramai. Mungkin apabila orang nampak saya ada bersama duda berkenaan pada masa itu, mereka menganggap kami ada hubungan istimewa, sebenarnya tidak. Saya sumpah semua itu fitnah, kononnya duda berkenaan meninggalkan kekasihnya kerana saya, saya tak pernah menjaja cerita itu,” katanya lagi.

Maaf bukan anak raja!

KINI sudah tersebar cerita di kalangan artis dan wartawan, kononnya Lofa ‘memalu kompang’ mendakwa dirinya sedang bercinta dengan kerabat diraja. Lofa didakwa mereka cerita kepada orang sekeliling, kononnya dia kini menjadi kekasih kepada putera raja, walhal apa yang dicanang itu tidak pernah wujud atau berlaku, sebaliknya beliau berbuat begitu semata-mata untuk meraih publisiti murahan. Lofa didakwa mengalami masalah psikologi.

“Sekarang saya rapat dengan seseorang yang seusia dengan saya, bukan anak raja seperti yang didakwa itu. Lofa tak pernah bercerita, orang yang bercerita kepada press. Justeru, dakwaan saya menjaja cerita kononnya sedang bercinta dengan kerabat diraja itu, adalah satu penipuan!,” tegas Lofa.

Lofa juga dikatakan pernah menghubungi kerabat diraja itu, namun dia tidak berani bersuara selepas panggilannya dijawab. Apa komen Lofa? Katanya: “Buat apa saya telefon dia (kerabat diraja)? Tuduhan itu sama sekali tak betul!”.

Tambah Lofa, dakwaan kononnya dia menjaja cerita duda VIP dan kerabat diraja berkenaan sedang bercinta dengannya, cerita seumpama itu tidak pernah keluar daripada mulutnya. Beliau mendakwa orang lain yang mereka cerita itu.

“Saya sakit hati apabila ada orang lain yang menjaja cerita tak betul mengenai diri saya. Apa yang saya dapat sekiranya benar saya menjaja cerita peribadi, buat malu saja! Saya ada maruah. Saya rasa tak perlu nak tarik perhatian sesiapa. Namun, ingin saya tegaskan sekali lagi, pemuda yang rapat dengan saya ketika ini umurnya sebaya dengan saya, beliau somebody, tapi dia bukan duda VIP mahupun putera raja seperti didakwa,” katanya berkali-kali.

Apabila tersebarnya cerita Lofa gemar menjaja cerita peribadi, dia dikatakan takut untuk bertemu dengan wartawan, khuatir sekiranya persoalan itu dibangkitkan. Tapi, apabila dakwaan berkenaan diajukan kepada Lofa, dia menafikan, sebaliknya menjelaskan beliau sedia memberikan kerjasama kepada rakan wartawan, sekali gus menjawab segala pertanyaan mereka.


Info Neelofa

NAMA PENUH: Noor Neelofa Mohd Noor
TARIKH LAHIR: 10 Februari 1989
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
KELUARGA: Anak ketiga daripada sembilan beradik
DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Pakistan-Arab)
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran, Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor
PENCAPAIAN: Juara Dewi Remaja 2010
KOMERSIAL TV: Nokia, Silky Girl, Fair & Lovely dan F&N Fruit Tree
KLIP VIDEO: Kau Bukan Aku nyanyian kumpulan Tilu
FILEM: Azura (versi baru) terbitan Ace Motion Pictures Sdn Bhd, arahan Aziz M Osman
DRAMA: Kasih Najihah, Tahajud Cinta dan Kitab Cinta kesemuanya arahan Erma Fatima
PENGACARAAN: Paparazzi terbitan KRU Studios, boleh diikuti menerusi www.tonton.com.my dan Sekolahku Hebat siaran Astro Ceria (saluran 611)
ARTIS NAUNGAN: KRU Studios mulai 31 Januari lalu selama setahun


Thanks

READ MORE- Neelofa lagi....

Berzikir tidak terbatas selepas solat

Kali ini Persoalan Agama Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
yang dipetik daripada Sisipan Warkah Berita Harian Online yang berbunyi seperti di bawah :

KITA sememangnya maklum zikir menjadi sebahagian proses memantapkan diri sebagai seorang Muslim. Persoalannya, apakah yang dinyatakan kitab suci al-Quran mengenai zikir ini.

Ibu Prihatin, Selangor.



Maka nya, Ustaz Zahazan telah menjawab pertanyaan Ibu Prihatin tersebut sepertimana berikut :

FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat ke-35 , maksudnya: “Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak, Allah sudah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”
Berdasarkan ayat ini di kalangan ulama, contohnya Mulla 'Ali al-Qari muhaddith menjelaskan bahawa berdasarkan hadis, ibadat yang paling utama dilakukan selepas membaca al-Quran dan mempelajari hadis ialah berzikir.

Hebatnya kedudukan orang yang berzikir ini turut dinyatakan dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Aku sentiasa bersama hamba-Ku apabila dia mengingati-Ku dan selagi bibirnya menyebut-Ku”. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah.

Dalam sebuah hadis sahih yang lain Nabi saw bersabda yang maksudnya: “Tidaklah berhimpun sesuatu golongan itu untuk mengingati Allah SWT melainkan Allah SWT akan mengelilingi mereka dan rahmat menyelaputi mereka dan ketenangan turun kepada mereka dan disebut-sebut oleh Allah SWT pada setiap yang ada disisi-Nya”.
Muslim hendaklah menjadikan setiap kesempatan dilalui sebagai zikrullah. Tetapi soalan yang timbul ialah bagaimana boleh berlaku begitu? Al-Imam An-Nawawiy, seorang pakar fiqah bermazhab Syafie yang masyhur memperjelaskan dalam kitab al-Azkar, betapa mudahnya amalan zikir ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, bahawa segala tindak tanduk yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT adalah zikir. Jika difahami perkara ini maka bukan saja pertuturanmempunyai nilai zikir, malah tidur, bersembang, ziarah menziarahi juga termasuk dalam zikir .

Penjelasan ini berteraskan kepada hadis dan al-Quran yang menjelaskan perkara berkenaan. Hal ini sekali gus menafikan tanggapan sempit masyarakat bahawa zikir hanya terbatas dalam persekitaran ibadat khusus seperti selepas solat atau pada waktu tertentu.

Al-Imam Al-Ghazali menyebut dalam Al-Ihya’, setiap episod yang dilalui dari pagi hingga malam hendaklah dipastikan menjadi ibadat kepada Allah SWT. Lantaran itu, agenda kehidupan itu mesti bermula dengan hubungan langsung dengan Allah SWT. Alangkah baiknya jika hari itu dimulakan solat tahajud diikuti sunat hajat.

Selesai solat Subuh, Muslim menuju ke tempat kerja dan kerja itu adalah peluang beribadat kepada Allah SWT dengan menepati syarat ditetapkan Islam. Pada waktu pagi, lebih kurang tiga jam selepas matahari terbit, Muslim jangan melepaskan peluang untuk beribadat dengan menunaikan solat duha atau menunaikan keperluan seseorang Muslim yang lain.

Pada hari bekerja pula, waktu ini digunakan untuk bekerja dalam erti kata yang sebenarnya.

Menjelang waktu Zuhur pula, seseorang hamba itu boleh meneruskan pekerjaannya sebaik tamat solat Zuhur. Sekiranya kerja sudah selesai maka dia boleh berehat iaitu tidur untuk membolehkannya Qiamullail. Apabila masuk waktu Asar, tugasnya ialah bersolat seperti biasa kemudian berzikir dan berwirid, seterusnya aktiviti berbentuk kekeluargaan bersama anak dan isteri menerusi aktiviti rekreasi, riadah dan kreativiti.

Waktu antara Maghrib dan Isyak hendaklah diisi dengan sebaiknya, sama ada untuk menghadiri majlis ilmu atau membaca al-Quran atau bertasbih, berzikir dan solat sunat.

Seterusnya selesai solat Isyak, eloklah kiranya diisi dengan program al-Quran seisi keluarga. Antara surah digalakkan untuk dibaca setiap malam adalah surah Al-Waqi’ah.

Sebelum tidur, alangkah baiknya jika dibacakan surah penyelamat dari seksa kubur, iaitu surah al-Mulk. Akhir sekali dikerjakan solat sunat witir sebagai penutup solat pada malam itu.



Thanks

READ MORE- Berzikir tidak terbatas selepas solat

Bukan gadis hipokrit

Ingin dikenali kerana bakat, bukan cerita sensasi

BEBERAPA minggu lalu, namanya menjadi bualan peminat seni hiburan tanah air apabila dia mengenakan pakai­­an yang agak mendedahkan ketika menghadiri sebuah majlis. Gambar dirinya dengan gaun yang menunjukkan sebaha­­gian daripada dada itu dengan pantas menjalar di alam maya, sedikit sebanyak membuatkan orang ramai mula ‘mengenali’ si empunya diri.

Biarpun agak hangat diper­­katakan, sehingga Miera Leyana sendiri beberapa hari kemudian tampil memohon maaf atas ‘ke­­terlanjuran’ berkenaan, pelakon berusia 18 tahun ini tidak me­­nuding jari kepada sesiapa untuk dipersalahkan. Cuma, dia terkilan apabila gambar terbabit cepat disebarkan.



Walaupun bukan cara terbaik untuk dikenali, namun sedikit seba­­nyak remaja ini mengaku namanya mula mendapat tempat di hati peminat akibat kejadian terbabit.

“Kejadian itu sedikit sebanyak memang ada kesannya. Begitupun, saya bukan ingin dikenali menerusi kejadian seperti ini. Sebaliknya saya ingin membuktikan saya mempunyai bakat dalam lakonan, yang sepatutnya menjadi cara lebih baik dalam memperkenalkan nama Miera Leyana dalam dunia hiburan.

“Saya bukan main-main apabila membabitkan diri dalam dunia seni. Malah, saya sudah berlakon sejak berusia 15 tahun. Jika saya ingin tagih populariti dengan cara yang cepat, baiklah saya berpakaian seksi sejak dulu lagi.

“Lagi pun, saya tidak pernah bersikap hipokrit. Saya masih Miera Leyana seperti yang dikenali sejak dulu. Bagaimana peminat melihat saya hari ini, begitulah juga saya suatu masa lalu. Takkan hanya kerana peristiwa itu, esok lusa saya akan tampil berbaju kurung?” katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.
Menurut Miera, kejadian ber­­kenaan juga bukanlah saat paling pahit pernah dialaminya, namun dia lebih suka melihat kejadian terbabit sebagai pengalaman baru buatnya.

“Secara jujur, saya tidak menyangka orang ramai akan memperkatakan mengenainya sampai begitu sekali. Ia bagaikan kilat yang tiba-tiba menyambar. Bagaimanapun, pengalaman itu membuka mata saya dengan lebih luas lagi, untuk memahami dunia artis. Pada masa yang sama, ia pengalaman yang mematangkan diri,” ujar gadis kacukan Melayu-Cina ini.

Mengaku gambar berkenaan dirakam ketika dirinya berada dalam keadaan belum bersedia sepenuhnya, Miera turut me­­ngaku, sebagai manusia biasa dia sendiri agak kurang selesa apabila orang ramai bercerita mengenai penampilannya yang dikatakan terlalu seksi itu.

Ditanya mengenai reaksi orang tuanya tatkala berdepan situasi itu, Miera cepat-cepat me­­luahkan kelegaan kerana menurutnya, ibu dan bapanya sudah pun bersedia dengan segala macam dugaan yang mungkin anak mereka akan tempuhi sebaik saja Miera memutuskan untuk terjun ke dunia seni. Mereka nyata memahami keperitan yang dialami gadis ini.

“Setiap manusia pasti akan membuat kesilapan dalam hidup mereka. Jadi, kita kena reda dengan apa yang berlaku. Mulut orang bukan seperti mulut tempayan yang boleh ditutup. Ketika yang sama, saya percaya, lama-lama mereka akan berhenti daripada bercakap me­­ngenainya. Kita pula boleh belajar daripada kesilapan lalu,” tegas remaja peramah ini.


Cabaran melakonkan watak gadis gothik

MENYENTUH karier lakonan, Miera tersenyum lebar dan nyata gembira untuk berkongsi cerita yang lebih menceriakan diri. Katanya, selepas membintangi filem Apokalips arahan Mamat Khalid, dia dilamar pula Ahmad Idham untuk berlakon dalam filem Jangan Pandang-Pandang.

Pada pertengahan Mei, Miera dijadualkan sekali lagi turun ke lokasi, kali ini untuk menjayakan penggambaran sebuah filem terbitan Tayangan Unggul pula.

“Penghujung Mac lalu, saya terbabit dalam penggambaran filem komedi seram Jangan Pandang-Pandang dengan membawakan watak gadis gothik bernama Marsha.
Antara lain, filem itu mengisahkan sekumpulan pelajar yang melakukan kajian mengenai tulang-tulang manusia di sebuah pulau. Marsha pula menyertai pelajar berkenaan apabila mereka tidak mempunyai anggota yang cukup.

“Selain diri saya, pelakon lain yang menjayakan filem ini ialah Zizan, Sara Ali, Anith dan Nas-T,” katanya yang cukup seronok beraksi dalam filem terbabit, apatah lagi apabila diberikan watak yang dianggapnya mencabar kebolehan diri.
Marsha, katanya, digambarkan sebagai gadis yang agak misteri, tetapi mempunyai sifat kepe­­mimpinan yang tinggi.

“Cuba bayangkan bagaimana ekspresi seorang gadis gothik yang nampak hantu? Tentulah ia bukan tugas yang mudah untuk saya lakukan. Sebagai gadis sedemikian, saya tidak boleh mempunyai perasaan yang jelas kelihatan.

“Nasib baik, sebelum turun ke lokasi, saya melakukan sedikit kajian mengenai golongan ini. Saya mengkaji bagaimana kelakuan dan gaya mereka menerusi paparan yang tersedia di internet. Saya lihat cara mereka bercakap, cara berpakaian dan juga cara mereka mengenakan solekan.

“Idham juga mahukan saya menjadi gadis yang penuh teka-teki. Begitupun, peminat tetap akan dapat menyaksikan ciri-ciri Miera Leyana sebenar dalam watak ini, walaupun sedikit,” katanya yang turut berlakon dalam siri komedi Nana Narita bersama-sama Faezah Elai, Anne Abdullah, Zoey dan Radhi Khalid, siaran TV9.

Biarpun berasakan kesukaran membawakan watak ber­­kenaan, Miera menerimanya sebagai cabaran yang harus ditempuh dalam membentuk dirinya sebagai pelakon lebih berwibawa.

Lebih-lebih lagi, dia berasakan, tidak ramai pelakon yang diberikan ruang untuk mencuba watak sedemikian.


Hampir tempang lakukan aksi Apokalips

SEBAGAI Marsha, Miera mendakwa watak itu tidak sama dengan peranan yang diberikan kepadanya dalam Apokalips, sebelum itu.

“Menerusi filem arahan Abang Mamat, saya beraksi sebagai gadis yang berdepan masalah percintaan. Pada masa yang sama, watak saya juga adalah ketua kumpulan yang muncul pada dunia baru. Ia sebuah generasi yang nyata berbeza daripada apa yang ada pada hari ini,” katanya yang baru saja menamatkan penggambaran drama bersiri, Kasih, yang dilakonkan bersama Aaron Aziz untuk TV3.

Remaja ini masih ingat, ketika beraksi dalam filem yang menggunakan set cukup dikaguminya itu, dia terjatuh tatkala menjayakan sebuah babak aksi sehingga terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan.

“Kerana terjatuh di lokasi, tisu otot kaki saya terkoyak. Kata doktor, saya boleh tempang jika nasib kurang menyebelahi diri. Nasib baiklah kecederaan berkenaan tidak mencapai tahap yang lebih serius,” cerita anak kedua daripada tiga adik-beradik, yang dilahirkan di Johor Bahru ini.

Kerana kecederaannya itu, Mamat terpaksa menukar skrip, dengan mewujudkan babak yang menunjukkan dirinya tercedera, supaya kesinambungan filem berkenaan terjaga.


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2011/05/09


p/s:Petikan di adalah hak milik sepenuhnya Berita Harian, tanpa sebarang penambahusbahsuaian. Petikan keseluruhan artikel ini hanya bertujuan peribadi semata-mata. Harap maklum. Terima kasih.

Thanks

READ MORE- Bukan gadis hipokrit

Tolong terima aku


Anna Raffali anggap kontroversi teguhkan jiwa sebagai anak seni

SEANDAINYA jika dia terus memikirkan segala reaksi negatif diterima berikutan kemenangan lagu ciptaannya, Tolong Ingatkan Aku pada Anugerah Juara Lagu Ke-25, bulan lalu, pastinya Ana Raffali tidak akan seteguh hari ini.

Pemilik nama berdaftar, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali itu enggan terus melatah kerana akur kemarahan tidak akan memberi apa-apa pulangan kepadanya. Biar dibidik serangan tanpa henti, malah diasak cemuhan mengguris rasa, anak kelahiran Kuala Lumpur pada 4 November 1985 itu enggan lagi menoleh ke belakang.

Cukup sudah dia menghuraikan segala yang terbuku di sudut hatinya dan ketika ini, Ana cuma mahu memandang hari depan.

Penyanyi yang selesa berbaju kurung atau kebaya sambil ditemani gitar ini menyerahkan kepada khalayak sama ada untuk mengambil peduli atau tidak apa yang pernah dijelaskan sebelum ini. Sebagai insan, Ana akur kesabarannya juga mempunyai had. Pinta gadis periang ini kepada khalayak, fikir dulu sebelum membuat sesuatu kenyataan kerana setiap tindakan pasti mengundang risiko pada kemudian hari.

“Setiap kita mempunyai pandangan dan hak masing-masing tetapi saya kecewa apabila pendapat mereka yang menjadi idola saya dalam kerjaya nyanyian tidak dihargai. Ada yang menafikan hak saya, malah melihat keputusan AJL25 sebagai sesuatu yang tidak adil dan tiada makna. Mengapa mereka enggan menerima semua ini adalah rezeki Tuhan?

“Saya tidak marah atau bengang kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada diri ini. Tidakkah mereka terfikir, apa perasaan mereka jika berada di tempat saya?,” luah Ana tatkala isu kemenangannya di AJL25 terus diperdebatkan khalayak.

Sesekali kata Ana, dia tertanya mengapa dirinya menjadi mangsa serangan mereka yang tidak berpuas hati sedangkan semua itu di luar kawalannya. Namun bila difikirkan kembali, Ana menerima semua itu sebagai realiti yang perlu dilalui untuk meneguhkan jiwanya sebagai anak seni.

“Jika mereka berniat untuk menyakiti hati saya, perbuatan itu cuma mencerminkan peribadi seseorang yang tiada belas dan kasihan.

Mungkin sesetengah individu memerlukan ruang untuk memujuk hati tetapi Alhamdulillah, saya okay. Tolong Ingatkan Aku ditulis untuk mengingatkan saya supaya membuang perasaan marah dan jangan menyimpan dendam.

“Ironinya, mesej lagu itu umpama sumpahan yang berlaku kepada diri saya sendiri apabila kemenangan Tolong Ingatkan Aku di AJL25 berdepan pelbagai dugaan,” katanya.

Kemenangan pertama itu sewajarnya diraikan peminat sebagai pengiktirafan kepada bakat dan kreativiti pencipta baru sepertinya.

Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila kontroversi itu berlarutan. Bahkan ada yang sengaja mencipta permusuhan sedangkan mereka langsung tidak mengenali peribadinya.

Tetapi Ana tidak menjadikan isu itu sebagai masalah besar. Memandang positif, Ana berkata, mereka yang pernah merasai momen kemuncak dalam karier masing-masing pasti akan berdepan masalah sama.

“Jika ada yang tak suka tak mengapa. Saya percaya dalam segelintir kecil yang membenci, pasti ada sebahagian lain yang senang dan menghargai karya saya. Saya harus tetapkan pendirian. Untuk menjadi hero, kita harus melalui kesukaran dulu kerana ia akan mencipta ruang untuk saya menjadi manusia yang lebih baik,” katanya sarat nada positif.

Kontroversi barangkali membantu melonjakkan karier nyanyian Ana yang sedang mencari-cari momentumnya sendiri.

Tetapi bukan itu yang dicari gadis yang kerap mengukir senyuman ini. Ana mahu peminat melihat kepada karya yang dihasilkan kerana semua itu menuntut masa dan kudrat yang panjang.

Ana bersyukur kerana langkahnya dipercepatkan Tuhan apabila Tolong Ingatkan Aku mendapat pengiktirafan juri, sekali gus meletakkan namanya pada tempat tersendiri di dalam industri.

“Saya bukan seperti yang digembar-gemburkan. Kontroversi bukan cara saya untuk mencipta nama. Saya memilih landasan seni kerana mahu memperjuangkan muzik. Saya hormat semua yang memberi pandangan tetapi saya tidak akan biarkan semangat yang sedang membara ini runtuh kerana kritikan membuta tuli,” katanya.

Dari sudut positif, Ana berbangga kerana AJL25 turut membuka mata peminat untuk melihat dan menilai karya yang dihasilkannya.

Permintaan terhadap album sulungnya, Ketika Aku Kecil juga bertambah malah kolaborasinya bersama penyanyi berpengalaman, Sohaimi Mior Hassan dan Altimet menerusi Kalau Berpacaran sedang meniti carta.

Menyusul selepas ini, simgle terbarunya, Sehabis Baik yang memaparkan luahan hatinya selepas kejayaannya di AJL25 dipertikai.

Lagu itu akan dimuatkan dalam album runut bunyi filem, Karipap-Karipap Cinta yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

“Ia memberikan kenangan yang manis, malah jauh daripada jangkaan saya. Selama ini kehadiran Ana Raffali seperti menjadi misteri kepada kebanyakan peminat seni. Namun, kejayaan dalam AJL25 dan populariti Kalau Berpacaran merungkai segala misteri itu serta saling menyokong untuk membawa saya ke tahap lebih baik,” katanya.

Simpan 50 lagu ciptaan sendiri

PERMULAAN 2011 dibuka Ana dengan pelbagai episod yang tidak pernah diduganya. Satu demi satu laluan selesa dibuka Tuhan untuknya, malah paling mengejutkan apabila namanya meraih tiga pencalonan untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Tahun pertama karier nyanyiannya dilancarkan, Ana membolosi pencalonan bagi kategori Artis Baru Wanita Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Artis Duo/Berkumpulan Wanita Popular.

Semua itu kata Ana, di luar jangkaannya memandangkan dia sendiri tertanya-tanya sejauh mana impak yang ditinggalkannya ketika mula menapak dalam arus perdana.

“Berada dalam Top 5, Artis Baru Wanita Popular sebenarnya sudah cukup membuat saya dihargai. Tetapi Tuhan membawa saya lebih jauh apabila mendapat tempat dalam kategori Penyanyi Wanita Popular. Ia adalah sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan. Terima kasih kepada Berita Harian serta peminat yang sentiasa positif menerima kehadiran saya,” katanya.

Memiliki hampir 50 lagu ciptaannya dalam simpanan, Ana berkata, dia sedang memikirkan kemungkinan untuk menghasilkan lagu kepada penyanyi lain.Pernah ada yang datang bertanya, cuma ketika itu Ana belum yakin memandangkan belum ada sesuatu yang menjadi pengesahan kepada kekuatan bakatnya.

Apa yang diimpikan Ana ketika ini adalah terus bertahan dan memastikan industri muzik tempatan kekal relevan merempuh arus masa.

“Saya ingin sekali melihat bakat tempatan dihargai dan masyarakat sanggup mengeluarkan bajet besar untuk menyaksikan penyanyi kita membuat persembahan. Mentaliti masyarakat perlu berubah, bahkan semangat patriotik perlu ditanam kukuh supaya bakat tempatan tidak diperlekehkan. Jika Indonesia begitu menjaga industri muzik mereka, penggiat seni Korea pula meraih kesenangan hasil jualan karya muzik sendiri perkara yang sama juga harus berlaku di negara kita.

“Memang usaha itu akan melalui perjalanan yang panjang namun kita harus memulakan sesuatu jika ingin melihat industri muzik tempatan berkembang,” katanya.

INFO: Ana Raffali
Nama Lengkap: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali
Tarikh Lahir: 4 November 1985
Asal: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak kesembilan daripada 11 beradik
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor
Album: Ana Raffali - Ketika Aku Kecil
Pengacaraan: Spektrum U, RTM pada 2004 dan 2005 sebanyak dua musim
Drama: Gerak Khas dan Roda-Roda Kuala Lumpur (watak kecil)
Teater: Rekaan Utama dan Kataku Oh Kataku (pementasan ketika menuntut di UiTM




READ MORE- Tolong terima aku
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jangan Duk Tengok Ajer Yea !!!