Listening to : THR Gegar || Sinar FM || Era FM || Hitz FM || Hot FM || Suria FM
PLEASE CLICK LIKE IF YOU REALLY LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.
THANKS 4 UR LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.

Busuk Dot Org

power by:
Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Sunat potong kuku pada Jumaat

Pada minggu ini, ada satu kemusykilan telah dikemukakan kepada Dr. Salam.

Soalan yang diajukan adalah seperti berikut :

SAYA ingin mendapat kepastian, adakah ada hari tertentu yang digalakkan untuk memotong kuku seperti pada Isnin, Khamis dan Jumaat?

Manakala hari lain dikatakan kurang sesuai.

Jika tidak berpeluang atau terlupa memotong kuku pada tiga hari berkenaan bolehkah kita memotongnya pada hari lain?

WARDAH, Selangor.


Cik / Puan WARDAH dari Selangor, ini pula jawapan daripada Dr Salam mengenai persoalan yang telah saudari ajukan kepada beliau.

Jawapan nya adalah :

MEMOTONG kuku termasuk dalam sunnah fitrah. Ini jelas apabila Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah iaitu memotong misai, memelihara jang�gut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur.” (Riwayat Muslim)

Menurut Imam Syafie, disunatkan memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat sama seperti mandi, bersugi, memakai haruman sebelum ke masjid.

Menurut riwayat Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w memotong kuku
dan menggunting misai pada Jumaat sebelum Baginda keluar untuk bersolat. (Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani)

Berkenaan terdapat hari tertentu memotong kuku, tiada hadis yang benar-benar sahih berkenaan mengerat kuku berkenaan. Ia boleh dilakukan tanpa mengikut hari tertentu.

Ada hadis daif yang hukum beramal dengannya dibenarkan terutama ketentuan Isnin, Khamis dan Jumaat sebagai hari diutamakan untuk melakukan ibadat sunat.

Justeru, sunat memotong kuku pada hari terbabit manakala memotong pada hari lain masih dibenarkan sekiranya perlu.



Thanks

READ MORE- Sunat potong kuku pada Jumaat

Berzikir tidak terbatas selepas solat

Kali ini Persoalan Agama Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
yang dipetik daripada Sisipan Warkah Berita Harian Online yang berbunyi seperti di bawah :

KITA sememangnya maklum zikir menjadi sebahagian proses memantapkan diri sebagai seorang Muslim. Persoalannya, apakah yang dinyatakan kitab suci al-Quran mengenai zikir ini.

Ibu Prihatin, Selangor.



Maka nya, Ustaz Zahazan telah menjawab pertanyaan Ibu Prihatin tersebut sepertimana berikut :

FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat ke-35 , maksudnya: “Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak, Allah sudah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”
Berdasarkan ayat ini di kalangan ulama, contohnya Mulla 'Ali al-Qari muhaddith menjelaskan bahawa berdasarkan hadis, ibadat yang paling utama dilakukan selepas membaca al-Quran dan mempelajari hadis ialah berzikir.

Hebatnya kedudukan orang yang berzikir ini turut dinyatakan dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Aku sentiasa bersama hamba-Ku apabila dia mengingati-Ku dan selagi bibirnya menyebut-Ku”. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah.

Dalam sebuah hadis sahih yang lain Nabi saw bersabda yang maksudnya: “Tidaklah berhimpun sesuatu golongan itu untuk mengingati Allah SWT melainkan Allah SWT akan mengelilingi mereka dan rahmat menyelaputi mereka dan ketenangan turun kepada mereka dan disebut-sebut oleh Allah SWT pada setiap yang ada disisi-Nya”.
Muslim hendaklah menjadikan setiap kesempatan dilalui sebagai zikrullah. Tetapi soalan yang timbul ialah bagaimana boleh berlaku begitu? Al-Imam An-Nawawiy, seorang pakar fiqah bermazhab Syafie yang masyhur memperjelaskan dalam kitab al-Azkar, betapa mudahnya amalan zikir ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, bahawa segala tindak tanduk yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT adalah zikir. Jika difahami perkara ini maka bukan saja pertuturanmempunyai nilai zikir, malah tidur, bersembang, ziarah menziarahi juga termasuk dalam zikir .

Penjelasan ini berteraskan kepada hadis dan al-Quran yang menjelaskan perkara berkenaan. Hal ini sekali gus menafikan tanggapan sempit masyarakat bahawa zikir hanya terbatas dalam persekitaran ibadat khusus seperti selepas solat atau pada waktu tertentu.

Al-Imam Al-Ghazali menyebut dalam Al-Ihya’, setiap episod yang dilalui dari pagi hingga malam hendaklah dipastikan menjadi ibadat kepada Allah SWT. Lantaran itu, agenda kehidupan itu mesti bermula dengan hubungan langsung dengan Allah SWT. Alangkah baiknya jika hari itu dimulakan solat tahajud diikuti sunat hajat.

Selesai solat Subuh, Muslim menuju ke tempat kerja dan kerja itu adalah peluang beribadat kepada Allah SWT dengan menepati syarat ditetapkan Islam. Pada waktu pagi, lebih kurang tiga jam selepas matahari terbit, Muslim jangan melepaskan peluang untuk beribadat dengan menunaikan solat duha atau menunaikan keperluan seseorang Muslim yang lain.

Pada hari bekerja pula, waktu ini digunakan untuk bekerja dalam erti kata yang sebenarnya.

Menjelang waktu Zuhur pula, seseorang hamba itu boleh meneruskan pekerjaannya sebaik tamat solat Zuhur. Sekiranya kerja sudah selesai maka dia boleh berehat iaitu tidur untuk membolehkannya Qiamullail. Apabila masuk waktu Asar, tugasnya ialah bersolat seperti biasa kemudian berzikir dan berwirid, seterusnya aktiviti berbentuk kekeluargaan bersama anak dan isteri menerusi aktiviti rekreasi, riadah dan kreativiti.

Waktu antara Maghrib dan Isyak hendaklah diisi dengan sebaiknya, sama ada untuk menghadiri majlis ilmu atau membaca al-Quran atau bertasbih, berzikir dan solat sunat.

Seterusnya selesai solat Isyak, eloklah kiranya diisi dengan program al-Quran seisi keluarga. Antara surah digalakkan untuk dibaca setiap malam adalah surah Al-Waqi’ah.

Sebelum tidur, alangkah baiknya jika dibacakan surah penyelamat dari seksa kubur, iaitu surah al-Mulk. Akhir sekali dikerjakan solat sunat witir sebagai penutup solat pada malam itu.



Thanks

READ MORE- Berzikir tidak terbatas selepas solat

Batal wuduk jika tidur?

Persoalan agama dipetik daripada Sisipan Warkah Utusan Malaysia Online.

Persoalan :

Saya faham jika sudah berwuduk tetapi tertidur yang tetap punggung itu tidak membatalkan wuduk. Soalnya, saya selalu melihat sebilangan jemaah yang tidur semasa khutbah Jumaat. Walaupun kelihatan tetap punggung tidurnya kelihatan lena sampai berdengkur.

Adakah keadaan begini juga tidak membatalkan solat. Bagaimana pula dengan tuntutan mendengar khutbah yang dikatakan sebagai menggantikan dua rakaat solat?


Maka jawapan yang telah diberikan untuk persoalan tersebut adalah :


Safwan bin 'Assal r.a. berkata yang bermaksud: "Rasulullah SAW memerintahkan kami agar tidak mencabut kasut ketika musafir selama tiga hari tiga malam kecuali jika berjunub, buang air besar, air kecil atau tidur". (riwayat Ahmad, al-Nasaai dan al-Tirmizi. Al-Tirmizi mensahihkannya).

Bagi menjawab persoalan ini, ada beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa tidur yang lena dan tetap punggungnya tidak perlu berwuduk semula.

Anas r.a berkata yang bermaksud: Suatu ketika, para sahabat Rasulullah SAW menunggu solat isyak sehingga tersengguk-sengguk kepala mereka kerana nabi SAW melewatkannya. Setelah baginda bersiap untuk menunaikan solat, mereka bersolat tanpa memperbaharui wuduk. (riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Ibn 'Abbas r.a berkata yang bermaksud: Aku telah bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteri nabi). Rasulullah SAW bangun untuk menunaikan solat malam. Lalu, aku bangun berdiri di sebelah kirinya. Kemudian, baginda menarik tanganku hingga aku berada di sebelah kanannya. Setiap kali kepalaku tersengguk kerana mengantuk, baginda akan menarik telingaku. Baginda melakukan solat itu sebanyak 11 rakaat. (riwayat Muslim).

Mengikut pandangan Imam al-Syafie r.a apabila seseorang tidak tidur dalam posisi duduk dan punggungnya tidak menempel dengan mantap pada posisi tempat duduknya.

Jika seseorang yang mempunyai wuduk tidur dengan posisi di atas sisi badannya (menyamping) atau dengan posisi terlentang, atau juga ada celah di antara punggungnya dengan tempat duduknya, maka wuduknya batal.

Wuduk tidak menjadi batal disebabkan mengantuk. Mengantuk adalah keadaan di mana seseorang merasa berat kepalanya, di mana dia masih dapat mendengar perkataan orang-orang yang ada di sekitarnya, walaupun tidak memahaminya.

Menurut pendapat paling sahih, termasuk pandangan dalam mazhab al-Syafie, apabila seseorang tidur tetapi tetap punggungnya di bumi tetap terletak di lantai, wuduknya tidak terbatal berdasarkan beberapa hadis di atas. Namun, yang afdalnya adalah berwuduk apabila tertidur berdasarkan maksud hadis secara umum.

Khutbah Jumaat

Mendengar khutbah Jumaat dan solat dua rakaat fardu Jumaat adalah ganti kepada solat zuhur. Kedua-duanya sama penting dan sama wajib dipenuhi.

Cuma sindrom sesetengah kita adalah bila solat Jumaat, mereka ingat solat Jumaat yang wajib dihadiri manakala khutbah Jumaat tidak dengar pun tidak mengapa yang penting solat Jumaat. Ini adalah tanggapan yang salah.

Kefarduan solat Jumaat adalah untuk memberi peluang orang Islam berkunjung ke masjid mendengar pesanan agama dan wasiat iman yang disampaikan oleh para khatib.

Falsafahnya supaya dalam kehidupan seminggu seorang lelaki muslim akan ada catatan yang dipijak kakinya ke masjid melalui kefarduan solat Jumaat.

Bayangkan kalau solat Jumaat tidak difardukan ke atas orang lelaki Muslim, alamatnya hati-hati yang kering pasti tidak akan berkunjung melainkan untuk solat hari raya.

Allah SWT memfardukan Jumaat semoga dengan kefarduan tersebut terdidik jiwa hamba-hamba-Nya ke arah kebaikan dan amal soleh. Untuk beroleh manfaat solat Jumaat maka solat Jumaat hendaklah ditunai dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan, bukan kerana terpaksa.

Perhatikan dengan mata hati maksud firman Allah SWT ini: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)... (al-Jumu'ah: 9).

Pergi untuk mengingati Allah SWT sama ada berzikir, membaca al-Quran sementara khatib naik mimbar. Bila khatib mula berkhutbah, berhenti zikir dan baca al-Quran, tumpukan perhatian pada khutbah.

Maksudnya ke masjid pada hari Jumaat bukan untuk tidur dalam masjid, sampai ada yang berdengkur malahan untuk mengingati Allah SWT. Ingat sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan di dalam surah al-Jumu'ah.

Golongan Yahudi yang tidak beramal al-Taurat adalah umpama keldai yang membawa pikulan kitab-kitab yang tinggi nilainya tetapi si keldai tidak tahu apa yang dipukulnya. Ini adalah seburuk-buruk perumpamaan ke atas golongan yahudi.

Jika Yahudi ditempelak dek Allah SWT kerana mengabaikan isi al-Taurat, maka umat Muhammad juga akan menerima nasib yang sama kerana mengabaikan al-Quran.


Thanks

READ MORE- Batal wuduk jika tidur?

Bimbang reaksi orang kampung

Persoalan yang diajukan kepada DR. SALAM (Harian Metro) pada kali ini ada seperti berikut:

SAYA baru memeluk Islam setahun lalu. Dalam keluarga, cuma saya yang diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam.

Pada mulanya, keluarga menentang dan kecewa kerana saya nekad memeluk Islam.

Namun, dengan izin Allah, mereka akur keputusan saya, tetapi tidak pasti sekiranya mereka ikhlas menerima keputusan itu. Namun, bukan itu yang saya titikberatkan kerana bagi yang penting adalah mencari keredaan Allah.

Terlalu banyak hikmah yang Allah berikan selepas diberi hidayah. Antaranya ialah menutup aurat dan saya sudah bertudung seperti yang dituntut agama.


Hujung tahun ini, saya bercadang pulang ke kampung halaman di Sarawak kerana sudah lama tidak pulang atas urusan kerja di Semenanjung.

Masalahnya, saya memikirkan situasi apabila berada di kampung nanti. Untuk makluman Dr, masyarakat di kampung saya itu tidak beragama Islam.

Jika saya bertudung, sudah pasti orang kampung akan terkejut dan melihat diri saya seperti ‘orang asing’. Mereka memberi tanggapan kurang baik dan salah faham terhadap Islam terutama berhubung perkara poligami serta pengganas.

Saya pernah menyuarakan masalah ini kepada teman rapat, namun dia minta saya bertanya kepada yang lebih arif soal agama. Saya harap Dr dapat memberikan penjelasan, nasihat dan teguran agar dapat menyelesaikan masalah ini.

HAMBA ALLAH,
Kuala Lumpur.


Maka, dengan persolan tersebut, DR SALAM telah menjawab permasalahan yang dihadapi oleh HAMBA ALLAH bagi merungkai kemusykilan dihadapinya sekarang.

Jawapan DR SALAM adalah seperti di bawah :

PADA pandangan saya tentu anda sudah merasai perbezaan antara sebelum menganut Islam dan selepas. Islam amat berbeza daripada sudut akidah, syariah dan akhlak berbanding agama lain.

Bagaimanapun, banyak tuduhan yang tidak baik dilontarkan kepada Islam dan penganutnya. Perkara ini pernah berlaku padai zaman Arab jahiliah di Makkah sebelum Islam beroleh kemenangan selepas hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah.

Selepas itu Islam tersebar ke seluruh dunia termasuk negara kita. Apabila umat Islam mengalami zaman kemunduran dan berlaku

kebangkitan serta penguasaan kuasa Barat, banyak kecaman mulai timbul terhadap Islam seperti agama menggalakkan keganasan manakala penganutnya dianggap pengganas.

Ini kerana rata-rata umat Islam menentang penjajahan Barat di negara masing-masing termasuk Malaysia. Tuduhan demi tuduhan timbul disebabkan adanya gerakan dan cabaran umat Islam untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu penjajah sama ada secara fizikal atau pemikiran.

Selain itu ada juga dalam kalangan umat Islam mengambil tindakan secara perseorangan dan berkumpulan dengan menentang kuasa Barat sekarang ini.

Akibat tindakan segelintir umat Islam dan ulasan media yang berat sebelah, mereka sentiasa dipersalahkan dalam semua keadaan termasuk apa yang berlaku di Palestin.

Saya berasakan tindakan anda untuk menganut Islam sangat tepat walaupun banyak tohmahan berlaku terhadap agama suci ini Islam dan umatnya. Perkara yang sama berlaku kepada kakak ipar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, Lauren Booth yang memeluk Islam tahun lalu.

Beliau mulai berani untuk berdakwah di banyak tempat di Britain. Anda boleh mengambil kekuatan daripada beliau dan rakan yang baru menganut Islam seluruh dunia.

Mengenai kepulangan anda ke kampung nanti, saya berpendapat anda tidak perlu khuatir sangat dengan reaksi orang kampung anda. Ini kerana mereka sedikit sebanyak sudah didedahkan dengan agama Islam.

Tentu ada yang beri tanggapan positif dan negatif akibat daripada liputan media dan sebagainya. Apa yang penting Islam tidak pernah memutuskan hubungan keluarga walaupun berlainan agama.

Memakai tudung atau menutup aurat pula adalah identiti wanita Islam. Ia bertujuan baik iaitu melindungi maruah dan kecantikan seorang wanita.

Berbanding wanita yang mempamerkan kecantikan kepada orang lain tanpa mengira siapa, ia sebenarnya menjatuhkan maruah seseorang wanita dan mendedahkan diri kepada eksploitasi.

Islam melihat kecantikan seorang wanita untuk suaminya saja. Pada saya kepulangan anda membawa kesan positif kepada keluarga dan masyarakat setempat.

Anda adalah ‘duta’ kepada Islam dengan mempamerkan akhlak dan peribadi mulia. Sekiranya ada reaksi negatif terimalah dengan hati terbuka dan mohonlah kekuatan kepada Allah supaya menguatkan pegangan terhadap Islam dan menambah rasa keimanan dan ketakwaan.




Thanks

READ MORE- Bimbang reaksi orang kampung

Dilema anak luar nikah

SAYA anak luar nikah. Ibu dan ayah saya ber�kahwin selepas kandungan ibu masuk empat bulan.

Sekarang saya sudah bertunang dan bakal berkahwin tidak lama lagi. Perkara ini hanya diketahui tunang saya saja.

Keluarga dia langsung tidak tahu.

Saya buntu dan takut untuk berterus terang kepada keluarga tunang saya. Adakah saya boleh berwalikan hakim?

Buat pengetahuan Dr, nama saya berbintikan ayah saya dan bukannya Abdullah.

Saya baru mengetahui status saya ini dua tahun lepas. Selama saya hidup 18 tahun, saya langsung tidak mengenai status saya ini.

FARA
Selangor


DALAM kes anda di atas, memilih untuk bernikah berwalikan hakim adalah yang terbaik.

Permohonan untuk mendapat kebenaran berkahwin hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Rendah Syariah di tempat anda bermastautin.

Antara dokumen yang diperlukan adalah: (1) notis permohonan, (2) afidavit sokongan, (3) lampiran yang diperakukan seperti salinan kad pengenalan, pengesahan pemastautin (jika alamat dalam kad pengenalan berlainan dengan alamat bermastautin), borang permohonan ber�kahwin bagi perempuan dan lelaki dan lain-lain dokumen berkaitan.

Dalam kes anda, elok dikemukakan sekali sijil kelahiran dan sijil nikah ibu bapa, (4) surat sokongan daripada Pendaftar Nikah (5) bayaran yang secukupnya, dan (6) wakalah peguam syarie bagi yang menggunakan khidmat peguam syarie. Memandangkan anda dan keluarga sudah mengetahui kedudukan diri (lihat Jawapan Tuan Musa Awang, Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Berita Harian 14 Ogos 2008).
READ MORE- Dilema anak luar nikah

Dinodai abang sendiri

SAYA tidak tahu bagaimana ingin menyelesaikan masalah ini. Saya pernah berzina dengan abang kandung saya. Ketika itu usia saya baru sembilan tahun.

Saya tidak tahu apa yang abang saya lakukan ke atas saya kerana pada usia itu saya belum memahami mengenai seks.

Apabila berusia 12 tahun, baru saya tahu yang perbuatan itu salah dan berdosa besar.

Saya takut jika bakal suami tidak boleh menerima kenyataan yang saya tidak suci

lagi. Kini usia saya sudah 23 tahun dan bakal mendirikan rumah tangga.

Perlukah saya memberitahu bakal suami mengenai keadaan saya sekarang? Saya selalu berdoa memohon dipertemukan jodoh dengan orang yang ikhlas menerima saya walaupun tidak suci lagi.


NURIN


ISLAM melarang salah laku seksual termasuk perzinaan kerana ia mempunyai banyak implikasi buruk kepada maruah diri individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Hal ini diingatkan dalam al-Quran: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat”. (Surah al-Isra’ ayat 32)

Berbanding dengan agama lain, pendekatan Islam mengenai dorongan seks adalah seimbang dengan tidak cuba menghapuskannya, tetapi mengawal secara baik.

Ini kerana memang manusia mempunyai dorongan seks dan nafsu. Lantaran itu Islam menggalakkan perkahwinan.

Individu yang tidak mampu berkahwin atas sebab tertentu disuruh menjaga kehormatan diri dan tidak mencabul kehormatan orang lain.

Kanun keseksaan dalam Islam mengenai zina dan sebagainya dilihat sedikit keras bagi menjamin maruah seseorang supaya perlanggaran norma seks tidak berlaku.

Hal ini perlu diingatkan kepada setiap individu, keluarga dan masyarakat.
Membiarkan saja gejala negatif termasuk perlakuan bebas dan pornografi bakal membawa keburukan dalam masyarakat.

Setiap ahli keluarga dan masyarakat perlu prihatin untuk menjaga maruah diri dan keluarga.

Dakwaan zina boleh dibuat apabila berlaku antara dua individu mukallaf tanpa ada paksaan.

Bagi kes anda, peristiwa itu berlaku ketika masih kanak-kanak dan belum mencapai umur baligh.

Justeru dakwaan zina tidak dapat dibuat. Anda pula tidak mengerti apa-apa. Ketika peristiwa tersebut berlaku, anda tidak melakukan perbuatan zina secara sedar iaitu mengetahui bahawa ia perbuatan zina yang diharamkan.

Sehubungan itu, anda tidak bersalah dan berdosa. Dakwaan rogol buat dibuat
ke atas abang sendiri sekiranya ia sudah mukallaf.

Bagaimanapun peristiwa itu tidak perlu diberitahu kepada suami.

Ini kerana keaiban perlu disimpan tanpa didedahkan kepada umum. Begitu juga dengan dosa yang lain tidak perlu didedahkan kepada manusia.

Mohonlah kepada Allah supaya menjaga hubungan dengan suami. Jadilah peristiwa lampau sebagai pengajaran dalam menjaga kehormatan diri dan anak nanti. Itulah yang utama buat masa sekarang.

Memandangkan kes begini banyak berlaku sejak kebelakangan ini, setiap keluarga Islam dan masyarakat perlu mengambil tindakan segera menanganinya.

Misalnya rumah memerlukan bilik berlainan bagi adik beradik lelaki dan perempuan. Setiap keluarga wajib mengawal anak mereka daripada terdedah kepada unsur seks dalam media dan internet.

Hukuman berat kepada kesalahan zina dan seksual perlu dikaji bagi menimbulkan rasa takut dalam diri individu.
READ MORE- Dinodai abang sendiri

Ikrar jauhi maksiat bersungguh-sungguh

BUAT dosa memang seronok. Lihatlah sendiri bagaimana riuh dan heboh dalam golongan yang mengunjungi konsert liar di tepi pantai, dataran, pusat membeli-belah dan kelab malam.

Tidak kurang juga yang melakukan maksiat di rumah sendiri iaitu dengan menonton televisyen, radio, Internet, SMS, MMS, sumbang mahram dan sebagainya.

Majlis ilmu di masjid tidak diikuti, kitab suci al-Quran tidak dibuka dan dibaca tetapi peribadi dan akhlak semakin jauh dari landasan sebenar.

Beberapa bulan lalu, di Indonesia berlakunya letupan gunung berapi. Lihat saja bagaimana penduduknya bertempiaran lari kerana takut kepada lava panas yang keluar daripada Gunung Merapi.

Malah, ada yang tidak sempat melarikan diri, terkorban dengan kesan yang cukup menyayat hati apabila mendapat kecederaan parah di seluruh anggota badan akibat terkena debu panas.

Panasnya lava tidak sama dengan kepanasan api neraka. Sebagaimana disebut dalam hadis panas api neraka melebihi 70 kali ganda kepanasan dan tahap bakaran api di dunia.

Bayangkan kalau Allah percikkan satu asap api neraka apalah agaknya berlaku kepada kita? Ya Allah selamatkan kami semua.

Kita semua melakukan dosa. Apalagi penulis yang sangat banyak silap dalam hidup ini, sudah banyak kali kita berjanji hendak tinggalkan dosa, sudah tidak mahu buat lagi, sudah menangis dan hendak tinggalkan dosa tetapi yang berlaku kadang-kadang hanya bertahan beberapa hari, bulan atau tahun.

Bagi mereka yang diberi sedikit kekuatan kemudian mengulangi lagi, mengulang dan mengulang, malah makin berselera selepas berpantang.

Yang jahil biasa bergurau kasar dengan kata "Aku buat dosa sebab Allah sudah takdirkan aku macam ni nak buat macam mana lagi".

Ada pula yang berkata, "Kita buat dosa tidak apa, tetapi jangan lupa kita kena buat baik banyak-banyak nanti kebaikan akan dapat menghapus dosa kita."

Pernah berlaku pada zaman Saidina Umar, seorang lelaki mencuri dan apabila diadili dia di dapati bersalah dan dihukum potong tangan. Dia kemudian membela diri dengan berkata, "Aku buat ini (mencuri) kerana Allah yang sudah tentukan". Kemudian Saidina Umar menyatakan hukuman kepada lelaki ini disamping potong tangan dia juga kena sebat 40 rotan, sahabat hairan kenapa ditambah hukuman terhadapnya? Umar berkata hukuman sebat 40 rotan itu di tambah kerana menyalahkan dan membuat tuduhan palsu terhadap Allah.

Sebenarnya syurga disediakan untuk mereka yang berjaya, dan orang yang berjaya ialah orang yang mampu mengalahkan nafsu dan mengatasi ujian hidup.

Dosa laksana soalan hidup yang kita kena jawab. Jawapan pula kena ikut skrip al-Quran dan hadis, manakala pemeriksa amalan di akhirat nanti ialah Allah Yang Maha Adil.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dialah yang telah takdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." (Surah Al-Mulk ayat 2)

Kalau ada yang kata, aku sudah banyak pahala tak apalah buat dosa sekali sekala, memang bohong, bohong dan bohong. Hakikatnya, Allah menciptakan benda baik itu banyak dan melebihi 24 jam sehari jika hendak melaksanakan semua.

Hatta ada manusia terpaksa mengorbankan waktu tidurnya kerana hendak melakukan lebih banyak kebaikan. Mungkin benar kita sudah buat baik dan pahala, tetapi yang patut juga kita tanya adakah kebaikan yang kita buat itu diterima Allah?

Sebab kalau sudah memang kebaikan yang kita buat tentu hati kita sudah terisi dengan makruf dan kalau hati sudah terisi dengan kebaikan bagaimana pula mungkar boleh masuk?

Tulisan ini bukan mahu menuduh sesiapa, tetapi mahu mengajak kita sama-sama bermuhasabah berkenaan waktu terluang dan peluang yang sangat banyak untuk kita lakukan ketaatan.

Benarlah firman Allah yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah
Al-'Asr ayat 1-3).

Ada banyak cara untuk kita hindari dosa dan maksiat di kesempatan terbatas ini marilah kita berprinsip, bermati-matian untuk menjauhi dosa.

Selama ini kita banyak bermain-main dalam menjauhi dosa dan maksiat, banyak main dalam beribadat dan taat kepada perintah Allah. Bermati-matianlah dalam bersolat, bermati-matian dalam berdakwah, bermati-matian dalam berzikir dan bermati matian dalam mencari cinta Allah serta mengamalkan sunnah Rasul.

sumber asli daripada myMetro
READ MORE- Ikrar jauhi maksiat bersungguh-sungguh

Sembilan petua doa dimakbul

BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab.

1. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya."

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."

6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."

7. Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."

8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'

9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."
READ MORE- Sembilan petua doa dimakbul

Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan harian kita

Oleh: Ismail Abu Bakar
(Petikan dari http://darussyifa.org/index.php)

Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis: Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.


Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah-1
Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2
Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah-3
Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah-4
Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.

Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Kisah -5
Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah-6
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

* Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
* Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
* Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
* Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
* Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu).



Terjemahan Doa’ :
Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat Imam Bukhari)

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua.
Wallah hu ‘alam


sumber:- http://nurjeehan.wordpress.com/2007/04/27/betapa-pentingnya-solat-istikharah-dalam-kehidupan-harian-kita/
READ MORE- Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan harian kita

Enam syarat peroleh kebahagiaan hakiki

Oleh Dr Engku Zaki Engku Alwi

KEBAHAGIAAN menjadi dambaan dan impian setiap insan. Oleh kerana kebahagiaan adalah satu istilah bersifat subjektif, maka tafsiran dan pemahamannya juga berbeza antara seorang dengan yang lain.

Ada yang menganggap kebahagiaan dapat dicari apabila memperoleh kekayaan melimpah ruah. Tidak kurang juga berpendapat kebahagiaan hanya diperoleh daripada suasana rumah tangga yang harmoni. Selebihnya pula berpendapat kebahagiaan sebenar terhasil daripada ketenangan jiwa dan keimanan tulus ke hadrat Allah Maha Esa.

Ringkasnya, setiap manusia mempunyai persepsi dan pemahaman berbeza mengenai kebahagiaan memandangkan penilaian perasaan bahagian itu sendiri hanya mereka saja yang boleh merasainya.

Menurut ahli falsafah Muslim terkenal, al-Farabi, kebahagiaan adalah suatu darjat kebajikan yang tertinggi yang tidak ada lagi suatu jenis kebajikan lebih tinggi atau lebih berharga daripadanya.

Justeru, sebagai kebajikan paling utama, kebahagiaan sangat dicari setiap insan untuk kebaikan dirinya. Ia adalah matlamat hidup sebenar dan keinginan terakhir dijejaki manusia kerana kejayaan menggapai kebahagiaan menjadikan mereka tidak memerlukan sesuatu yang lain daripadanya.

Ahli falsafah Yunani, Aristotles, pula menyatakan bahawa kebahagiaan adalah kebaikan tertinggi yang dibentuk dan diasaskan di bawahnya oleh himpunan kebaikan sangat banyak jumlahnya seperti kecantikan, kesihatan, kekayaan, kekuasaan, kecerdasan, ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan.

Semua nilai kebaikan itu adalah antara komponen yang dicari dan dijejaki setiap manusia sebagai wasilah menyampaikan mereka kepada kebahagiaan diimpikan.

Menurut perspektif Islam, kebahagiaan adalah lawan kepada penderitaan, kecelakaan dan kesengsaraan. Dalam konteks ini, orang yang berbahagia adalah orang yang memperoleh naungan rahmat, perlindungan dan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Sebaliknya, orang yang celaka dan sengsara adalah orang yang dijauhkan daripada rahmat Ilahi dan mendapat seksaan api neraka. Orang yang beriman kepada Allah sedia maklum dan meyakini bahawa Allah akan menjamin kebahagiaan kepada orang beriman serta beramal salih.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam solat, menjauhi (perbuatan dan perkataan) sia-sia, mengeluarkan zakat, menjaga kehormatan diri kecuali terhadap isteri dan hamba mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Sesiapa yang mencari selain daripadanya (isteri dan hamba), maka mereka itu orang yang melanggar batasan. Mereka yang menjaga amanah dan janji, mereka yang sentiasa mengerjakan solat, mereka itulah pewaris yang bakal mewarisi syurga Firdaus dan kekal di dalamnya.” - (Surah al-Mukminun, ayat 1-11)

Berdasarkan pengertian ayat suci itu, dapat disimpulkan sekurang-kurangnya ada enam syarat utama perlu dipenuhi terlebih dulu oleh setiap Muslim sebelum dapat mengecapi nikmat kebahagiaan yang dijanjikan Allah.

Enam syarat itu ialah khusyuk dalam solat, meninggalkan perkara sia-sia, mengeluarkan zakat, memelihara kehormatan diri, memelihara amanah serta menunaikan janji dan sentiasa mengerjakan solat.

Pendek kata, sesiapa yang dapat menghiasi dirinya dengan enam ciri itu, nescaya dia sudah menempah tiket kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah dan seterusnya terjamin di sisi Allah sebagai pewaris syurga Firdaus.

Berdasarkan hadis sahih, Rasulullah SAW pernah menjanjikan dua jenis kegembiraan (kebahagiaan) kepada orang berpuasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua jenis kegembiraan; iaitu kegembiraan pada waktu berbuka puasa dan kegembiraan pada waktu berjumpa dengan Allah.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ulama al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut, berdasarkan hadis Rasulullah SAW, kegembiraan (kebahagiaan) yang pertama bagi seorang Muslim adalah kegembiraan kerana berjaya melaksanakan ibadat atau kewajipan agama yang diperintahkan Allah.

Kegembiraan kedua pula ditafsirkan sebagai kegembiraan kerana yakin dan optimis dengan ganjaran pahala berlipat ganda dijanjikan Allah kepadanya.

Tambah Syeikh Mahmud lagi, kedua-dua kegembiraan dicapai daripada menunaikan perintah Allah dan harapan terhadap ganjaran pahala di sisi Allah adalah dua faktor yang secara langsung akan memudahkan seseorang Muslim menjejaki kebahagiaan hidupnya dunia akhirat.

Kejayaan menunaikan perintah Allah akan mencetuskan ketenangan jiwa di sudut hatinya di samping harapan mendapatkan ganjaran pahala besar akan mempertingkatkan lagi motivasi serta kesungguhannya untuk terus beribadat dan beramal soleh selagi hayat masih dikandung badan.

Barangkali inilah antara hikmah dan kesan yang boleh dirasai setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Nilai kebahagiaan sebenarnya tidak diukur pada harta seseorang, pangkat atau kedudukannya.

Sebaliknya, kebahagiaan menurut kaca mata Islam didasarkan kepada amalan salih hamba Allah dengan penuh ikhlas sepanjang hidupnya. Itulah kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah kepada sesiapa yang beriman kepada-Nya dengan sebenar-benar iman.

sumber:-http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20081116234334/Article/
READ MORE- Enam syarat peroleh kebahagiaan hakiki

Didik remaja elak terjebak kancah zina

Oleh Mohd Zamri Shafie

MENGGELETAR seluruh tangan ketika menandatangani borang permohonan nikah bagi tujuan sokongan dan pengesahan. Menggeletar seluruh tubuh apabila mengetahui pemohon perempuan sudah hamil sebelum akad ijab kabul.

Inilah ‘sedikit’ gangguan emosi dan perasaan tatkala terlihat wajah ceria anak muda seolah-olah perlakuan zina antara mereka tidak pernah berlaku. Seorang bapa mengeluh penuh kehibaan dan kesedihan tatkala mengetahui anak remaja perempuannya terjebak dengan zina dan hamil empat bulan.

Wajah ibu dan ayah menggambarkan kepiluan, di mana hendak diletakkan muka apabila maruah dicemari perlakuan anak. Malangnya, zina atau seks sebelum nikah menjadi fenomena biasa dalam masyarakat Islam hari ini.

Islam memberi ingatan bahawa malapetaka dahsyat bakal menimpa generasi muda yang terhasil akibat perlakuan zina. Syahwat seksual dan zina adalah seperti dadah dan kegilaan harta material, boleh membawa seseorang menjadi mabuk dan lupa segala-galanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika anak Adam punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Demikian juga perihal nafsu syahwat, penyakit dalaman yang serius serta amat sukar dirawat.

Sebelum menjadi lebih parah kerana zina akan merosakkan keturunan manusia, Islam hadir dengan kaedah sad al-zara ei’ (menutup pintu) supaya segala kebejatan zina dihindari dan dijauhi. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah perbuatan yang keji dan jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’, ayat 32) Larangan zina yang digunakan dalam al-Quran seperti, “Jangan kamu mendekati zina” bukan “'Jangan melakukan zina”, menegaskan bukan hanya perzinaan dilarang, tetapi segala-gala yang menjadi pintu ke arah perlakuan itu perlu dijauhi.

Contohnya, memandang aurat wanita, mendengar perkara yang boleh menaikkan nafsu seperti kelunakan suara (rayuan atau pujukan), bergaul bebas antara lelaki dan wanita atau berdua-duaan dengan bukan mahram.

Kecelakaan penzina turut dirakamkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur dalam neraka mengganggu ahli neraka kerana sangat busuk.” (Hadis riwayat al-Bazzar)

Antara sifat orang mukmin ialah menjaga kemaluannya daripada zina kerana perbuatan itu termasuk dalam dosa besar di samping menyekutukan Allah, meminum minuman keras, berjudi, mencuri dan membunuh. Etika berpakaian juga harus dititikberatkan. Pakaian Muslimah wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang daripada dorongan berahi kerana aurat yang tidak ditutup dengan sempurna mengundang rogol atau zina.

Hari ini seakan menjadi aliran kebanyakan pakaian generasi muda (ada juga yang berumur) terlalu pendek, ketat dan nipis. Fenomena seperti itu patut dicegah demi kesejahteraan seluruh masyarakat. Segala yang dikira boleh membawa kepada perzinaan seperti rumah pelacuran, disko dan rumah urut perlu dicegah atau ditutup. Jika tidak, berlaku perkara yang tidak diingini.

Merujuk buku Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam Jilid 2, dinukilkan bahawa Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj memberi gambaran seksa bagi lelaki penzina. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Kemudian aku melihat beberapa lelaki memegang daging gemuk yang bermutu, di sebelahnya terdapat daging kurus yang sudah busuk. Mereka memakan daging busuk itu dan meninggalkan daging gemuk yang bermutu. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah orang yang meninggalkan wanita yang sudah dihalalkan oleh Allah terhadap mereka (isteri) dan pergi kepada wanita yang diharamkan oleh terhadap mereka.” (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)

Rasulullah SAW turut memberi gambaran seksaan wanita yang membawa masuk lelaki bukan kalangan anak dan suami mereka. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Kemudian aku melihat beberapa wanita yang digantung dengan payu dara mereka. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah wanita yang membawa masuk lelaki yang bukan daripada kalangan anak, suami mereka (bukan mahram).” (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)

Ibnu Ishak berkata: “Jaafar bin ‘Amru berkata kepadaku dari Qasim bin Muhammad bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah terlalu murka terhadap wanita yang membawa masuk ke atas ‘kaum’ (rumah tangga suami), lelaki yang bukan daripada kalangan mereka, kemudian dia memakan harta dan melihat aurat mereka.

Wahai anak muda, ingat pesan orang tua, ‘jika ingin melakukan sesuatu yang tidak baik, jangan fikir sekali, fikir dan perhalusi 1000 kali.; Hari ini orang tidak nampak dan tahu apa yang kita lakukan, tetapi Allah Maha Mengetahui. Jadikan diri kita mukmin sejati yang tahu di mana kebaikan perlu dilakukan dan keburukan perlu dijauhi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang rasa gembira dengan amalan baik dan rasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri mukmin sejati.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

sumber :- http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20081116234626/Article/index_html
READ MORE- Didik remaja elak terjebak kancah zina
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jangan Duk Tengok Ajer Yea !!!