Listening to : THR Gegar || Sinar FM || Era FM || Hitz FM || Hot FM || Suria FM
PLEASE CLICK LIKE IF YOU REALLY LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.
THANKS 4 UR LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.

Busuk Dot Org

power by:

Seronok sambut raya dua budaya

DENGAN pakej menarik yang dimiliki mereka, sepantas kilat nama Nur Fathia Abd Latiff (Fathia), 24, Syakila Nisha Jahangir Khan (Kilafairy), 19, berjaya menempa populariti dalam dunia hiburan yang disimbah glamor.

Jadi usah terkejut andai menyelak muka depan halaman hiburan arus perdana mahupun majalah ketika ini apabila wajah mereka mula terpampang di sana-sini sebagai penyeri.

Lalu RAP turut tergerak mempertemukan dua jelitawan ini untuk berkongsi cerita raya mereka sekalipun menyedari kesibukan jadual seni masing-masing.

Berdarah campuran, Fathia dilahirkan dalam keluarga berketurunan Arab sebelah ibu manakala ayah Kilafairy (Kila) pula keturunan Pakistan.

Memulakan perbualan, Fathia berkata, jika kebanyakan wanita Melayu menggayakan baju kurung di pagi raya, dia dan saudara-mara yang lain akan mengenakan jubah selain bertudung

“Situasi sebegini dapat dilihat jika perayaan Aidilfitri itu disambut sebelah keluarga ibu Fathia kerana mereka berketurunan Arab. Tidak hanya pemakaian di pagi raya saja yang unik, tapi juga menu juadah Aidilfitri.

“Rendang dan ketupat masih ada, tapi ia bukan hidangan utama. Pagi raya menu yang terhidang biasanya makanan Arab seperti roti putar, bamya, nasi bukhari, kacang pool dan harisa.

“Harisa diperbuat daripada tepung kanji dan biji gandum, dibentuk menjadi bulat. Kemudian bahagian tengahnya yang separa berlubang diletakkan minyak dan sekelilingnya pula di tabur bawang serta lada. Manakala bamya, sejenis gulai yang sangat enak apabila dicicah dengan roti,” kata bintang Stanza Cinta ini.

FATHIA...pulang beraya ke Ayer Itam dan Tanjung Bungah.


Mengakui bertuah dilahirkan dalam keluarga campuran, seperkara yang menarik setiap kali pulang beraya ke Ayer Itam dan Tanjung Bungah, Pulau Pinang, ada acara tari-menari Arab di kalangan saudara perempuan.

“Acara itu hanya membabitkan saudara-mara perempuan saja sementara lelaki tidak dibenarkan. Malah, ia diadakan ketika semua adik-beradik ibu berkumpul.

“Selepas memastikan tiada seorang pun orang lelaki berada di rumah, kami akan memasang lagu Arab kuat-kuat kemudian menari beramai-ramai. Jangan tak tahu, ibu, mak cik malah nenek pun akan menari sakan!” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Ramah melayani segala pertanyaan, sambutan Aidilfitri kali ini juga dirasakan sedikit berbeza oleh mahasiswi jurusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini kerana buat pertama kalinya dia menyediakan duit raya untuk si kecil.

Jelas gadis bakal muncul dengan drama Cinta & Harapan itu, meski tidak memperuntukkan jumlah yang banyak, dia tetap mahu berkongsi rezeki hasil titik peluh sendiri dengan ahli keluarga dan saudara-mara.

“Tahun lalu saya masih mendapat duit raya. Duit raya yang kami peroleh ada kalanya boleh mencecah lebih RM1,000 kerana keluarga sebelah ibu dan bapa memang sangat ramai.

“Berbeza tahun ini, tiba giliran saya pula yang berbelanja. Walaupun masih bergelar pelajar dan masa yang sama bekerja sambilan sebagai pelakon, selayaknya status saya ini dianggap sudah bekerja,” katanya.

Beralih pada cerita Kilafairy yang memiliki sepasang mata serta bibir yang seksi, sekian lama tidak menyambut Aidilfitri di sebelah ayahnya, tahun ini Terengganu menjadi destinasi pilihan mereka sekeluarga.

“Sebelum ini setiap tahun boleh dikatakan kami lebih banyak beraya di sebelah Mama (penyanyi Rohana Jalil) kerana di Terengganu sudah tiada lagi datuk dan nenek. Bagaimanapun tahun lalu, nenek sebelah Mama pula kembali ke rahmatullah, jadi kami memutuskan untuk beraya di Terengganu bersama keluarga serta saudara-mara sebelah ayah tahun ini.

KILAFAIRY...beraya bersama keluarga sebelah bapa di Terengganu.


“Bezanya perayaan di Johor dan Terengganu, Aidilfitri disambut agak unik oleh keluarga sebelah Papa Kila. Tidak ada lontong di pagi raya sebaliknya Roti Pakistan serta beberapa lagi makanan tradisional dari sana.

“Bagaimanapun ketupat, rendang dan lemang itu tetap ada. Sebelah malam pula, kami akan berkumpul di chalet kepunyaan milik keluarga Papa untuk mengadakan majlis BBQ (barbeku),” katanya.

Ada kisah menarik yang berlaku lima tahun lalu sewaktu beraya di Terengganu apabila dia bersama abang sepupu dan sepupu perempuan yang lain pergi memancing.

“Itu adalah perkara paling ‘happening’ pernah saya lakukan semasa menyambut hari raya. Saya sangat rindukan saat itu dan tidak sabar untuk meraikan
Aidilfitri lagi bersama mereka.
“Saudara-mara sebelah Papa, ‘rock’ sikit. Manakala sebelah Mama pula mereka lebih tertib dan mengikut jadual. Seronok dibesarkan dalam keluarga yang berbeza cara hidup dan budaya,” katanya.

Tidak seperti Fathia, penuntut jurusan Pengurusan & Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles ini merasakan dirinya belum mampu memberikan duit raya kerana masih belajar.

Malah, tahun pertama menyambut Aidilfitri dengan gelaran selebriti juga tidak membawa sebarang perubahan dalam hidup Kilafairy kerana sudah terbiasa dengan keadaan ibunya yang menjadi perhatian masyarakat.

“Duit hasil lakonan Kila disaran Mama untuk disimpan bagi kegunaan masa depan. Papa cakap, selagi dia ada dan Kila masih belajar, Papa akan uruskan semuanya,” kata pelakon filem Karak itu.



PROFIL

NAMA SEBENAR: Nur Fathia Abd Latiff
LAHIR: 1 September 1987
ZODIAK: Virgo
ASAL: Ayer Hitam, Pulau Pinang
KELUARGA: Anak sulung daripada empat beradik
KERJAYA: Pelakon, model dan pelajar
CITA-CITA: Peguam, seniwati yang dihormati
DRAMA: Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri, Bila Musang Berjanggut, Laila Asyikin, Hani, Mek Kelate, Hani
FILEM: Al Hijab
IKLAN: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua, Panasonic


PROFIL

NAMA SEBENAR: Syakila Nisha Jangir Khan
ASAL: Kuala Lumpur
AKDEMIK: Jurusan Pengurusan & Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles, Kuala Lumpur.
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, pelajar
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
DRAMA: Hotel Mania, Alam Hitam, Pengasih Minyak Dagu, Darah Pontianak, Ayu Suraya
FILEM: Karak, Hore Hore


Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my


Thanks to myMetro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jangan Duk Tengok Ajer Yea !!!