Apa kata kita ikuti artikel terbitan myMetro ini yang mana memperihalkan kisah mereka berdua ini.
Fazura tak kenal Neelofa
Oleh Norhayati Nordin
SESUDAH Nur Kasih, drama Tahajjud Cinta arahan Erma Fatima disebut-sebut akan mencetuskan fenomena luar biasa. Namun belum lagi ia ditayangkan kepada penonton, sudah terbit cerita panas mengaitkan dua pelakon jelita drama itu.
Siapa lagi kalau bukan aktres filem Pisau Cukur, Nur Fazura Sharifuddin, 27, yang didakwa sedang berperang dingin dengan bintang baru, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, 22.
Perang dingin itu dikatakan berpunca daripada perebutan kekasih antara mereka berdua.
Sebelum ini, timbul khabar angin Neelofa pernah keluar bersama seorang kenamaan (VIP) yang turut didakwa ada hubungan istimewa dengan Fazura. Ekoran daripada peristiwa itu, maka wujudlah babak kusam antara mereka.
Lebih daripada itu, Fazura dikatakan turut bersekutu dengan beberapa bintang jelita lain yang tidak berpuas hati dengan kehadiran Neelofa dalam industri kerana dianggap hanya menjual kecantikan dan bukannya bakat.
Sejauh manakah kebenaran cerita itu?
Lalu kesempatan bertemu kedua-duanya pada sidang media drama Tahajjud Cinta di Sri Pentas, TV3, baru-baru ini, wakil Rap cuba merungkai desas-desus mengenai apa yang berlaku.
Kata Fazura, dia tidak pernah kenal siapa itu Neelofa.
Fazura berkata, biarpun mereka membintangi Tahajjud Cinta, tiada satu babak pun yang mempertemukan mereka berdua.
“Saya memang tak pernah ada masalah pun dengan dia. Saya juga tidak kisah dengan siapa dia hendak bercinta mahupun dengan siapa dia nak berkawan. Itu urusan peribadi dia.
“Cuma, jangan sesekali mengaitkan nama saya. Dia boleh berkawan dengan sesiapa saja yang dia suka sama ada VIP ke, kerabat ke, duda ke, saya tak kisah. Terpulang kepada dia namun apa yang dikecewakan nama saya turut dikaitkan,” katanya.
Ditanya bagaimana dia mendapat tahu namanya dikaitkan, Fazura berkata, cerita itu disampaikan kelompok rakan Neelofa juga. Jelasnya, semua khabar angin yang diperkatakan mereka itu tidak benar dan meminta agar jangan lagi membabitkan dia.
“Sekali lagi saya minta, jangan babitkan saya lagi dalam kisah dia. Malah, saya juga tiada kena mengena dengan mana-mana orang kenamaan, kerabat atau apa saja yang digosipkan. Saya tidak ada masa untuk melayan cerita sebegini.
“Saya ada matlamat dalam bidang lakonan iaitu untuk menjadi pelakon yang berjaya. Saya minat berlakon dan ingin masyarakat menilai bakat saya itu. Jadi, saya memang tak nak layan perkara yang remeh seperti ini. Tolong, jangan kaitkan lagi saya,” katanya.
Melakonkan watak Citra Maisara dalam Tahajjud Cinta, wanita tabah itu adalah pejuang hak kaum sejenisnya. Katanya, ia satu watak yang sangat berat dan mencabar.
Neelofa nafi kaitkan Fazura
BAGI Neelofa pula, dia menafikan sama sekali pernah mengaitkan nama Fazura dalam gosip perhubungannya dengan VIP yang dikatakan itu.
“Kalau ada pihak mengaitkan nama Fazura dalam cerita itu, ia pasti bukan daripada saya. Kalau Fazura hendak marah pun atas sesuatu yang bukan saya pernah lakukan, saya sendiri tak boleh buat apa-apa. Sebabnya saya tak ada kuasa nak perbetulkan cerita yang diada-adakan dan tak betul. Habis bagaimana dengan nama saya sendiri yang dikaitkan?
“Saya terkejut juga apabila mendapat tahu mengenai perkara itu. Apapun, antara saya dan Fazura tiada masalah. Lagipun, bukan saya yang mencetuskan cerita ini,” katanya.
Neelofa turut menafikan kisah dia dihalau daripada menghadiri satu majlis di sebuah hotel terkemuka, baru-baru ini.
Menurut gadis yang baru lima bulan menceburi bidang seni itu, dia sendiri tidak tahu bagaimana khabar angin palsu seperti itu boleh cepat tersebar.
Katanya, baru sekarang dia mulai belajar apa itu dunia hiburan yang penuh dengan gosip dan dugaan. Katanya, banyak pula pihak yang menjadi nasi tambah.
“Saya akan jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran. Saya masuk ke dunia hiburan kerana mahu mengasah bakat bukan sebab ada perkara tersirat. Saya bangga sebab setakat ini menerima asuhan daripada pengarah terkenal seperti Aziz M Osman dan Erma Fatima,” kata pemegang gelaran Dewi Remaja 2011 ini.
Sebelum ini tercetus kontroversi apabila Neelofa dikatakan punca keretakan hubungan Shah Jaszle dan Maria Farida apabila Neelofa berlakon dengan Shah dalam filem Azura 2011 yang menjalani penggambaran di Paris dan London.
“Saya masih baru tetapi saya kena berdepan dengan banyak kontroversi. Saya harap cabaran ini akan dapat mematangkan diri saya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semakin banyak mendapat peluang berlakon. Semua ini rezeki Tuhan,” ujarnya.
Sementara itu, bagi penonton setia TV3, drama bersiri Tahajjud Cinta turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Fouziah Gous, Dira Abu Zahar, Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Ziela Jalil dan Melissa Saila. Ia akan mula ke udara esok menerusi slot Zehra, jam 9 malam dan berlangsung sebanyak 13 episod.
to myMetro
No comments:
Post a Comment