SYAWAL yang bakal diraikan pada 30 Ogos ini cuma sebentar dapat dinikmati pengacara dan pelakon kontroversi terkenal Indonesia, Luna Maya. Ini berikutan dia terpaksa mengorbankan kemeriahan hari lebaran dan keseronokan bersama keluarga kerana terpaksa berlepas ke London atas tuntutan kerjaya.
Seolah-olah sudah menjangka kekalutannya pada hari mulia itu nanti, Luna merancang untuk terlebih dulu pulang ke kampung halamannya di Bali dan menghabiskan baki Ramadan bersama keluarga. Dia hanya akan kembali semula ke Jakarta pada malam 1 Syawal.
“Memadai dapat berbuka bersama pada beberapa hari terakhir Ramadan. Sebelum berangkat pulang ke Jakarta pada tengah malam itu, saya dan keluarga akan terlebih dulu bertakbir bersama.
“Mujur pesawat ke London bertolak malam, jadi siang selepas solat sunat Aidilfitri saya masih berkesempatan menziarahi keluarga terdekat. Memikirkan waktu yang terbatas, saya cuma akan ke rumah nenek. Jika mempunyai kesempatan, Insya-Allah saya akan bertemu saudara mara di situ. Jika tidak saya cuma menelefon untuk mengutuskan salam lebaran,” kata gadis kelahiran Denpasar, Bali ini.
Kekalutan itu kata Luna, bukan kali pertama dilaluinya. Tahun lalu, 1 Syawal juga diraikannya di luar negara kerana tuntutan kerjaya yang tidak dapat dielakkan.
“Saya tiada apa-apa, cuma mungkin sedikit sepi kerana saya sendirian ke sana. Jika ditanya nikmat 1 Syawal, saya tidak kehilangan apa-apa. Mungkin saya terlepas momen berkumpul bersama keluarga, tetapi hal itu masih boleh dilakukan selepas saya pulang dari London nanti.
“Keluarga saya santai, mereka tidak pernah melarang malah memahami segala yang saya lakukan itu atas tuntutan kerja.
Lagipun, tiada apa yang terlalu istimewa pada lebaran nanti kecuali berkumpul dan menjamah hidangan bersama. Mungkin kerana itu keluarga tidak keberatan melepaskan saya ke luar negara ketika lebaran,” katanya yang akan berada di London selama tiga minggu.
Menyentuh mengenai hidangan wajib ketika 1 Syawal, kekasih Ariel Peterpan itu berkata, kebiasaannya dia dan keluarga cuma menempah hidangan berat seperti opor dan rendang daripada jiran. Ini kerana kata Luna, sebahagian besar ahli keluarganya tidak menjamah daging membuatkan hidangan wajib agak asing bagi mereka.
“Suasana Syawal di Bali agak berbeza. Kebetulan keluarga besar saya hanya menjamah hidangan berasaskan sayuran, jadi agak susah untuk saya temui sajian seperti opor dan rendang. Dalam keluarga, cuma saya yang makan daging. Disebabkan proses menyediakan sajian itu remeh, jadi kami memilih untuk menempah daripada jiran sebagai sajian pada lebaran nanti,” katanya.
Kesempatan menyambut 1 Syawal yang singkat tidak sesekali membantutkan perancangannya ke Penjara Kedung Waru, Bandung untuk menziarahi Ariel yang sedang menjalani hukuman penjara. Sepanjang Ramadan, Luna berkata, dia sempat beberapa kali melawat Ariel. Setiap kali melawat, Luna tidak lupa menyajikan hidangan yang dimasaknya sendiri untuk dijamah vokalis kumpulan Peterpan itu.
“Dia senang menerima apa saja dibawa. Ariel tidak cerewet, malah tidak pernah meminta atau memesan apa hidangan yang mahu dinikmatinya. Apa yang dibawa itu dijamah tanpa pernah merungut. Alhamdulillah, dia sihat dan tidak berdepan masalah besar menjalani ibadah puasa di penjara,” katanya.
Sementara menanti kedatangan Syawal dan memenuhi waktu senggang, Luna berkata, dia mencuri waktu menyiapkan hamper untuk dikirim kepada mereka yang menyokong kariernya.
“Cukup menyambutnya secara sederhana, sekadar membeli biskut selain mengirim hadiah kepada rakan sekerja dan mereka yang dekat. Alhamdulillah kerana puasa tahun ini tidak diduga dengan cabaran besar. Setahun sekali Ramadan datang, jadi setiap tahun suasana berbeza,” jelasnya.
Suka solat bertarawih di masjid
LUNA akui, ketika waktu berbuka puasa, dia menggemari manisan yang dipanggil kolak selain mengambil sedikit nasi.
Jelasnya, kehadiran Ramadan sememangnya sesuatu yang disukainya dan bukan perkara membebankan kerana Luna sering mengamalkan puasa sunat terutama pada bulan Syaaban dan Rejab. Luna juga akan mencari kesempatan untuk ke masjid dan lebih selesa berjamaah bagi menunaikan solat tarawih, namun jika waktunya terbatas, dia melakukannya sendirian di rumah.
“Mungkin kerana saya sudah sering berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis, selain berpuasa nazar jadi saya tidak pernah berasa sulit apabila Ramadan tiba.
“Cuma saya mahu lebih kurus tetapi kurang pasti, apakah niat itu akan tercapai. Bagaimana berat mahu turun kerana saya banyak makan ketika berbuka?
“Sudahlah itu, jam 3.30 pagi saya akan bangun sahur dan tidur semula sementara menanti solat Subuh. Melihat rutin yang begitu, bagaimana berat tidak bertambah?,” katanya mengakui seperti mana hamba Allah lain, Luna juga berharap keberkatan Ramadan akan mengubahnya menjadi manusia yang lebih baik dan bersabar.
Katanya, suasana damai yang dinikmati sepanjang Ramadan itu diharapkan berlarutan sekali gus membentuknya menjadi manusia yang lebih dewasa dan matang.
“Moga apa yang diberikan Allah ini berpanjangan, tidak hanya pada bulan puasa malah berlarutan untuk hari seterusnya. Begitu juga dengan silaturahim yang terjalin, biarpun tidak sering bertemu namun Ramadan dan Syawal mengeratkan sesuatu yang dulu mungkin terbatas kerana kekangan masa serta jarak,” katanya.
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
2011/08/27
to Berita Harian Online
Listening to :
PLEASE CLICK LIKE IF YOU REALLY LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.
THANKS 4 UR LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.
Luna rindu Ariel
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment