Oleh KEMALIA OTHMAN
PETALING JAYA: Selepas tiga tahun bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone, penyanyi Shila Amzah mengambil keputusan untuk menguruskan kerjayanya sendiri dengan meninggalkan syarikat itu.
Tambah Shila, dia yakin mampu menguruskan perjalanan kerjayanya terutamanya dalam bidang nyanyian dengan lebih baik secara berseorangan.
“Saya rasa sudah sampai masa untuk saya menguruskan kerjaya saya sendiri, saya faham mereka (Monkey Bone) menguruskan ramai artis dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada saya seorang sahaja.
“Tapi bagi saya pula sebagai penyanyi saya mahu produk saya keluar segera,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program-Program Baru TV3 dan TV9, di sini, Khamis.
Tambah Shila, bukan kerana kecewa terhadap syarikat rakaman tersebut tetapi dia mahu merangka strategi sendiri untuk masa depan kerjayanya.
“Formula yang digunakan oleh Monkey Bone mungkin sesuai dengan artis-artis lain tetapi tidak sesuai dengan saya.
“Lebih baik saya buat strategi dan formula sendiri untuk album saya dan jika ia untung atau rugi saya yang tanggung sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, kata Shila, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang secara baik dengan pihak Monkey Bone.
“Saya sudah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Monkey Bone, Ahmad Izham Omar dan selesaikan perkara ini dengan baik.
“Lagipun jika saya tidak mendatangkan keuntungan pada syarikat rakaman tersebut lebih baik saya keluar,” katanya.
Dalam pada itu, “single” pertama lagu Hari Raya nyanyian Shila berjudul “Patah Seribu” mula dimainkan di stesen-stesen radio tempatan.
Tambah Shila, lagu tersebut merupakan lagu pertama ciptaannya yang dirakamkan.
“Lagu “Patah Seribu” ini merupakan lagu pertama ciptaan saya sepenuhnya yang saya rakamkan.
“Banyak lagi lagu-lagu yang saya cipta tapi belum berkeyakinan untuk merakamkannya,” katanya.
to mStar Online
No comments:
Post a Comment