“Saya sudah memikirkan untuk memilih mana yang penting atau tidak dalam kehidupan sebagai artis,” bicara awal pelakon ini membuka tirai kisah pendiriannya.
Anak kelahiran Ampang, Selangor ini juga mengakui bahawa terdapat banyak cerita sama kerap berulang tentang dirinya. Sama ada tentang kisah cinta, pakaian seksi atau perkahwinan.
“Saya gelisah kalau isu sebegini berterusan dimainkan menyebabkan masyarakat terus melabel saya. Sedangkan, tiada apa pun isu yang boleh diperbesar-besarkan di situ.
“Terus terang, saya muak untuk mengulas tentang tiga isu serangkai berkenaan. Ada juga provokasi dibuat, tapi saya tak pernah melatah pun. Sebab saya tak mahu mencari publisiti murahan.
“Sebab di penghujung cerita, saya kemudiannya menjadi mangsa. Padahal tak ada niat pun nak buat situasi bertambah kompleks,” jelasnya bersemangat.
Kesan dari itu juga, pemilik nama Zuliana Abd. Aziz ini juga pernah dikecam agar mengurangkan cerita-cerita sebegitu yang disifatkan tidak bagus untuk kerjaya dirinya.
Dalam perkembangan yang sama, anak bongsu dari lima beradik ini mengakui antara faktor dia sengaja mengundur setapak ke belakang dalam urusan publisiti bagi memberi peluang kepada artis baru dikenali.
“Saya bukan lagi di kalangan pendatang baru yang mahu mencipta nama. Tak juga punya nama yang kukuh biarpun sudah empat tahun dalam industri ketika ini. Biarlah artis baru menimba pengalaman dan pendedahan. Seperti mana yang pernah saya alami dulu,” sambungnya lagi.
Sudah matang
Pemain teater Semerah Padi yang bakal melakonkan watak Seniwati Saadiah pada Disember ini juga sudah matang untuk menilai apa yang terbaik untuk dirinya.
Bakal menginjak usia 27 tahun ini lebih banyak membuatkan dirinya berfikir tentang apa yang terbaik buat dirinya.
Dalam pada itu, Jue menyatakan kecenderungannya kini terarah kepada karier lakonan semata-mata. Seluruh waktu diberikan kepada jadual penggambaran di set lokasi sepanjang masa.
“Saya akan habiskan waktu bersama keluarga kalau tiada di jadual penggambaran. Lebih baik saya habiskan masa menerusi cara ini ini. Atau menonton himpunan cerita di televisyen bagi menguatkan mutu lakonan saya.
“Berkurangnya cerita kontroversi yang tak baik tentang saya bermakna kehidupan saya semakin tenang. Semua ini memberi kebaikan kepada saya bila reputasi saya kembali normal,” katanya menyungging senyuman.
Jue memberitahu bahawa dia tak punya sebarang akaun laman sosial Twitter tetapi mempunyai empat akaun Facebook. Dua di antaranya yang aktif digunakan adalah www.facebook.com/JuE AziZ dan We Love Jue Aziz.
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
to Utusan Malaysia Online
1 comment:
Sudah matang laa dia...huhuhu...payah nie...
Post a Comment