KUALA LUMPUR: Pelakon baru, Tasha Shila, bersyukur kerana tawaran lakonan yang diterimanya tidak pernah putus sejak awal Januari selepas dia membintangi drama Gemilang.
Menurut Shila, dia tidak sangka, kerjaya lakonan untuk beberapa drama lakonannya diterima umum dan dia menganggap ia merupakan rezeki bagi mengembangkan bakat seninya.
"Selepas drama arahan Khabir Bahtia, Gemilang, saya terus ditawarkan berlakon menerusi drama Sahara pula dan kedua-dua drama tersebut saya membawa watak antagonis.
"Mengejutkan, saya dapat rasa watak antagonis yang dilakonkan benar-benar menepati kehendak orang ramai kerana ada beberapa orang di luar sana mengatakan yang dia tidak sukakan saya kerana watak yang dibawakan itu," katanya yang bakal muncul dengan filem keduanya, Klip 3GP pada hujung tahun ini.
Tambah Tasha, dia tidak kisah jika dirinya dibenci kerana watak, cuma dia mengingatkan kepada semua bahawa, karakternya yang sebenar tidak sama dengan watak yang dilakonkannya dalam drama mahupun filem.
Dalam pada itu. Tasha turut mengakui bahawa dia agak sukar menjiwai watak baik berbanding watak antagonis yang sering dilakonkannya sebelum ini.
Katanya, watak baik memerlukan dia bermain dengan emosi dalaman tanpa menunjukkan mimik muka marah atau dendam.
"Seperti yang saya lakonkan watak Sakinah dalam drama Ramadhan Terakhir yang masih lagi ditayangkan di TV3, saya perlu bermain emosi dalaman dan segala perasaan marah kena simpan dalam hati. Lain pula untuk watak antagonis, setiap rasa tidak puas hati akan dikeluarkan saja.
"Apa-apa pun, saya harap dapat mengasah bakat lakonan saya dengan melakonkan pelbagai jenis watak di masa akan datang nanti," tuturnya.
to mStar Online
No comments:
Post a Comment