Tubuh sakit lepas dirasuk
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
SUDAH banyak filem genre seram disajikan kepada penonton, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini ramai yang berminat menghasilkan filem seram. Malah sepanjang April lalu, empat filem seram ditayangkan bermula dengan Di Larang Masuk, Senjakala, Penunggu Istana dan Seru manakala Momok...Jangan Panggil Aku ditayangkan 5 Mei lalu.
Selepas pawagam digegarkan dengan filem aksi melalui Kongsi dan KL Gangster, genre seram kembali menghantui penonton melalui Rasuk terbitan Merpati White Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Sri Saheb Production Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Rasuk: Dendam Syaitan Yang Tak Sudah garapan S Baldev Singh dikatakan mempunyai kelainan dan mampu menarik perhatian penonton filem tempatan melalui lakonan mantap Fouziah Gous sebagai teraju utama.
Rata-rata penonton dan wakil media yang hadir menyaksikan pra-tonton filem ini menganggap Rasuk adalah filem terbaik lakonan Fouziah setakat ini.
Secara peribadi, Fouziah sendiri mengakui dia membuat kajian mendalam bagi menjiwai watak Sari Melati yang dirasuk roh askar Jepun yang dibunuh. Ditambah pula minatnya dengan cerita hantu dan memang mengimpikan cerita seperti ini membuatkan semangatnya menjayakan filem ini lebih berkobar-kobar.
“Saya pernah berlakon dalam cerita hantu sebelum ini tetapi bergandingan dengan pelakon lain. Kali ini saya membawa watak utama secara solo.
“Saya juga perlu memahami apa itu rasuk dan bagaimana menjadi orang yang dirasuk. Rasukan adalah benda yang tidak elok dan masuk dalam badan kita.
“Berdasarkan kajian, saya dapati orang dirasuk hantu tubuhnya kejang, matanya tidak berkelip. Terus terang, mata memainkan peranan yang sangat besar untuk menjiwai babak orang dirasuk,” katanya.
Fouziah mengakui berdepan cabaran besar sepanjang penggambaran Rasuk, kira-kira dua tahun lalu. Baginya, watak Sari Melati yang dirasuk ini sangat mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.
“Seluruh badan saya sakit-sakit selepas penggambaran selesai. Pergerakan Sari Melati nampak kasar ketika dirasuk kerana roh yang merasuknya seorang lelaki dan bukan perempuan.
“Selepas selesai penggambaran, saya berasa termengah-mengah dan penat. Bayangkan, saya perlu jayakan babak Sari Melati di rasuk hingga terpaksa memanjat tiang rumah pada malam hari raya Aidil Adha dulu. Malah, saya sering menangis selepas siap sesuatu babak tapi tidak tunjuk dengan kru di lokasi penggambaran,” katanya.
Kata Fouziah, sudah sampai masanya dia lebih selektif dengan watak ditawarkan dalam filem. Sebelum ini dia terima apa saja tawaran berlakon sebagai praktikal sehingga lupa kesannya.
“Saya banyak belajar dan buat kajian terlebih dulu apabila menerima skrip dan apa saja kritikan, saya lihat dari sudut yang positif. Saya juga inginkan kelainan dalam watak dilakonkan kerana tidak mahu asyik-asyik buat cerita hantu. Terus terang, saya pernah menolak beberapa tawaran berlakon filem kerana inginkan sesuatu yang lebih mencabar,” katanya.
Dalam filem ini juga menyaksikan Fouziah digandingkan dengan Iqram dan mereka sudah biasa digandingkan bersama tetapi kata Fouziah, ini gandingan pertamanya dengan Iqram sebagai suami isteri. Sebelum ini, mereka pernah berlakon sebagai adik beradik dan kawan saja.
“Saya akui susah untuk melakonkan babak romantik dengan Iqram di layar perak kerana kami berdua kaki gaduh kalau berjumpa.
Baldev pula beri peluang pada kami berdua bawa watak suami isteri. Saya fikir sebagai kawan baik, ia memudahkan kami bekerjasama dalam filem ini. Tapi rupa-rupanya susah pula,” katanya.
Iqram yang membawa watak pengarah fotografi, Arman, suami Sari Melati pula bersedia menerima kritikan positif dari penonton sekali gus memperbaiki lakonannya selepas ini.
“Saya akur watak saya biasa saja berbanding watak Sari Melati. Saya juga masih bertatih dan mentah dalam lakonan dan terus perbaiki prestasi lakonan pada masa akan datang,” katanya.
Selain Fouziah, penampilan Sidek Hussin (watak lelaki misteri), Fauziah Nawi (ibu Arman) dan Linda Hashim (Melati yang menggoda pada zaman Jepun) tetap memberi kesan mendalam pada penonton.
Rasuk ditayangkan di luar negara
APA yang menarik mengenai Rasuk ialah, walaupun dihasilkan produser dan pengarah bukan Melayu, ia dilihat lebih islamik berbanding karya diterbitkan sesetengah produser filem Melayu kerana mengetengahkan ayat Kursi untuk menghapuskan roh jahat.
Malah Baldev yang mensasarkan kutipan pecah panggung untuk filem keduanya selepas Kecoh Betul mengatakan, Rasuk adalah filem seram tempatan pertama menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) yang mengubah wajah watak utama Sari Melati lebih mengerikan.
“CGI filem ini kemas kerana dihasilkan di kompleks studio terbesar di dunia iaitu Hyderabad, India. Ada beberapa babak dalam filem ini di mana CGI digunakan mengubah mata, wajah dan gigi menjadi lebih mengerikan,” katanya.
Ditanya kenapa memilih hantu Jepun, kata Baldev, secara kebetulan pada zaman penjajahan Jepun dulu, banyak maklum balas negatif diterima dari rakyat betapa susahnya hidup pada zaman itu.
“Saya juga tidak menganggap watak doktor yang sering ketawa sebagai keterlaluan sebaliknya sebagai elemen meredakan tekanan orang yang menonton cerita seram. Saya berpuas hati dengan lakonan Fouziah dan Iqram selaku teraju utama filem ini. Malah, Iqram juga mengalami kecederaan dan terbakar ketika menjayakan salah satu babak dalam Rasuk,” katanya.
Lebih memberansangkan, Rasuk juga bakal menjengah lapan pawagam di pelbagai negara iaitu Singapura, Hyderabad (Pakistan), Jepun (2 pawagam) dan Iran (2) tidak lama lagi.
Rasuk membongkar misteri banglo Melayu lama yang dibina sejak zaman pemerintahan Jepun. Banglo ini nampak indah dan teguh serta penghuninya silih berganti tanpa sebarang gangguan sehinggalah kehadiran sepasang suami isteri, Arman dan Melati.
Arman seorang pengarah fotografi dan Melati pula penulis skrip. Misteri bermula apabila Melati yang tidak sengaja mengangkat batu tanda di kawasan rumah berkenaan.
Filem ini mula menjengah 65 pawagam tempatan pada 23 Jun ini dan turut dibintangi Frank Peterson, Hasni Maulod dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment