RASA cinta kepada seseorang adalah anugerah paling indah daripada pencipta makhluk seluruh isi alam ini.
Pernahkah anda merasakan terlalu menyintai seseorang sehingga terasa indahnya kehidupan ini?
Dalam percintaan, tiada sempadan untuk menikmati perasaan itu. Baik cinta terhadap keluarga, terhadap kekasih atau Allah, ia pasti menuntut pengorbanan.
Barangkali ada insan yang tidak pernah jatuh cinta dan tidak menikmati nikmat indah di sebalik sebuah kata cinta?
Bagi yang tidak faham apa makna cinta, berikut persoalan dan kenyataan yang mampu menjawab segalanya.
# Andai kata cinta itu sebuah pengorbanan, mengapa pengorbanan itu bukan noktah sebuah cinta? Andai kata derita itu harga sebuah cinta, mengapa cinta itu semakin sukar dimiliki? Cinta seumpama kota kristal indah di penglihatan tetapi derita di perasaan.
# Ada orang pada mulanya malu untuk jatuh cinta tetapi apabila perasaan menjadi rindu padanya, tiba-tiba perasaan malu itu menjadi hilang dengan sendirinya dan terpaksa menerima kenyataan yang sebenarnya bahawa anda telah jatuh cinta.
# Gerak geri memberi pengertian kepada perasaan yang tidak terucap oleh kata-kata.
# Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali. Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut yang lama pasti sembuh selagi iman terselit di dada.
# Cinta yang datang umpama pelangi ceria dengan tujuh warna memukau saat bayu berlagu riang, ketika itulah cintanya hadir. Apabila mata terlihat seseorang yang bakal mewarnai hidupnya.
# Cinta bukan paksaan. Ia lahir daripada dua perasaan, kehadirannya tidak diundang, perginya tiada yang merelakan kerana ia terlalu sukar untuk dimengertikan.
# Persahabatan biasanya berakhir dengan percintaan tetapi percintaan tidak pernah berakhir dengan persahabatan.
# Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar menghinakan diri tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat.
# Apakah cinta itu? Cuba katakan... Tidak lain dan tidak bukan ialah dua jiwa dalam satu fikiran dan dua hati dalam satu debaran.
# Cetusan cinta pertama adalah suatu getaran yang sangat menggoncangkan jiwa.
# Kadangkala kita menyedari betapa dalamnya kita menyintai seseorang, pada saat kita sedang kehilangannya. Kadang kala kita menyedari betapa perlunya cinta seseorang pada saat kita amat memerlukannya.
# Cinta yang lahir daripada pandang pertama adalah cinta suci manakala perasaan cinta yang lahir daripada kemesraan persahabatan adalah cinta sejati. Namun, sukar membezakan yang mana lebih abadi, cinta suci atau cinta sejati.
sumber:-myMetro
No comments:
Post a Comment