Listening to : THR Gegar || Sinar FM || Era FM || Hitz FM || Hot FM || Suria FM
PLEASE CLICK LIKE IF YOU REALLY LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.
THANKS 4 UR LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.

Busuk Dot Org

power by:

Zizan, Juliana, Tai raya di panggung

TIGA nama, Zizan Razak, Juliana Evans dan Taiyuddin Bakar buat pertama kali digabungkan dalam sebuah filem berjudul Hantu Bonceng.

Meskipun begitu, keserasian yang timbul antara mereka bertiga jelas kelihatan ketika tayangan perdana filem tersebut di Pawagam Odeon, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saling mengusik antara satu sama lain terutamanya antara Zizan dan Juliana Evans menguatkan lagi gosip kononnya pasangan pelakon ini sedang hangat bercinta. Namun ketika disoal media, kedua-dua mereka menafikan gosip tersebut dan menjelaskan mereka hanya sahabat baik.

"Mana ada kami bercinta memang tidak betul sama sekali tetapi saya mengaku saya rapat dengannya dan pernah keluar bersama selepas penggambaran filem tetapi bersama rakan-rakan yang lain termasuk pengurusnya," kata Juliana.

Zizan pula berkata: "Antara kami tiada cinta lokasi. Kami memang rapat tetapi jarang berjumpa, hanya berhubung di telefon."

GANDINGAN Tai, Juliana dan Zizan menjadikan filem Hantu Bonceng sebuah produksi wajib tonton di pawagam pada hari raya ini.


Zizan malu babak bogel

Sebagai seorang pelakon, Zizan nyata menaruh harapan agar orang ramai berpuas hati dengan lakonannya dalam filem Hantu Bonceng kerana menurutnya, dia sudah memberi yang terbaik begitu juga dengan seluruh tenaga produksi.

"Selepas tayangan perdana ini saya sedikit lega, sebab masa saya sampai tadi filem telah dimainkan dan saya lihat orang tidak berhenti ketawa. Sebelum ini saya bimbang, orang akan ketawa pada peringkat awal dan ia mendatar selepas itu, tetapi Alhamdulillah, kebanyakan orang yang datang hari ini seronok dengan filem ini.

"Tetapi reaksi orang ramai di luar sana, saya belum tahu lagi, itu yang membuatkan saya berdebar-debar, saya harap siapa sahaja yang menontonnya akan terhibur," ujarnya yang memegang watak Amran.

Bercerita lanjut mengenai filem arahan Ahmad Idham yang menelan kos RM1.5 juta itu, Zizan mengakui banyak adegan yang sukar untuk dilakonkan tetapi adegan yang paling sukar buatnya adalah adegan di kubur.

"Ketika adegan di kubur, saya tidak mahu buat lawak sebaliknya mahu serius tetapi apa yang saya lihat masih ada orang ketawa sebab saya bercakap dengan nada yang serius. Satu lagi adegan yang tidak dapat saya lupakan adalah adegan saya dan Tai berbogel di Taman Titiwangsa.

"Bayangkan untuk melakonkan adegan itu kami berdua hanya memakai boxer sahaja, malunya saya tidak boleh dikira, kebetulan ketika itu ada pula tiga buah bas rombongan berhenti di tempat kami melakukan penggambaran.

"Saya sedang bekerja ketika itu, jadi saya minta orang yang lalu lalang jangan mengambil gambar saya dalam keadaan itu. Orang tidak faham, walaupun ketika itu saya hanya pakai boxer, yang keluar di layar lebar hanyalah separuh badan kami, kalau mereka ambil gambar, malulah saya," tutur Zizan ketawa.

Rumah terbuka raya ketiga

Setiap kali tibanya lebaran, keluarga Zizan akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga. Tahun ini rumah terbuka akan diadakan di kediaman keluarga Zizan di Jalan Terkukur, Kuala Terengganu, Terengganu.

Zizan menjemput seluruh keluarganya dan juga peminat yang sentiasa menyokongnya untuk menghadiri rumah terbukanya itu.

"Memang setiap tahun kami buat rumah terbuka, tetapi sebelum menjadi artis, rumah terbuka keluarga kami dibuat di rumah nenek di Dungun, Terengganu. Saya memang menggunakan rumah terbuka ini untuk dekatkan diri dengan peminat serta menjamu keluarga dan sahabat handai.

"Uniknya, rumah terbuka kami akan diadakan di depan rumah kami yang kecil, jadi kami akan pasang khemah seperti orang kahwin.

"Semua makanan yang dihidangkan pada rumah terbuka itu adalah air tangan ibu saya seratus peratus bersama orang-orang kampung yang turut membantu.

"Tahun lepas saya anggarkan seramai 5,000 yang hadir ke rumah terbuka saya yang dibuka dari pagi sampai ke malam," ceritanya yang pernah digigit lipan pada malam hari raya.

Juliana hantu kembar

Filem Hantu Bonceng yang akan ditayangkan di 80 pawagam menyaksikan Juliana Evans melakonkan dua watak iaitu sebagai pasangan kembar hantu Maya dan Ayu.

"Sebenarnya yang paling susah adalah saya kena memakai kanta lengkap berwarna putih yang mana saya bukannya seorang yang pakai kanta lengkap. Jadi, saya sungguh tidak selesa dan mata sentiasa berair.

"Sebab itu, apabila ada adegan yang memerlukan saya memakai kanta lengkap putih itu, saya akan melakonkannya dengan bersungguh supaya tidak perlu diulang semula adegan yang sama dan saya boleh buka kanta lengkap dengan segera," luahnya.

Mercun meletup di tangan

Saban tahun, Juliana dan keluarganya akan pulang berhari raya di Bagan Datoh, Perak yang merupakan kampung sebelah ibunya. Tidak mengambil banyak kerja pada hari raya, Jue akan berada di kampung halamannya selama empat hari.

Meskipun hidup di bandar tegas Jue, sebaik sahaja tiba di kampung dia akan memastikan diri serasi dengan masyarakat di kampung.

"Balik kampung, saya akan jadi budak kampung, pakai biasa-biasa sahaja. Saya main mercun, lawan mercun siapa bunyi lagi kuat dengan budak kampung sebelah. Seronok sangat bila balik kampung.

"Jadi, setiap tahun peminat tahu saya balik kampung, jadi akan ada peminat yang datang melawat saya di kampung dan minta bergambar. Saya tidak kisah, sebaliknya seronok bertemu peminat di kampung saya sendiri," balasnya.

Jue yang menggemari hidangan rendang tok, lontong dan soto pada hari raya menceritakan pengalaman pahitnya ketika beraya dua tahun lepas apabila tangannya berbalut gara-gara mercun meletup ditangannya sendiri.

"Saya jadi nakal bila balik kampung, semua benda saya nak buat, jadinya kena balik pada diri sendiri. Nasihat saya, jangan main mercun bila hari raya, nanti tidak dapat bersalaman dengan orang sebab tangan berbalut, nak minta duit raya pun susah," katanya dalam tawa.

Komedi pertama Tai

Pelakon Taiyuddin Bakar atau Tai, sebelum ini merupakan pelakon yang aktif dalam teater dan pernah berlakon dalam filem Mukhsin, Lu Fikirlah Sendiri The Movie. Dia yang baru menamatkan penggambaran filem Petiga arahan Farid Kamil bukanlah seorang pelakon baru.

Namun, baru hari ini kelibatnya mula kelihatan di layar kaca dan layar lebar. Diberi kepercayaan untuk memegang watak Kunyit, sahabat baik kepada Amran (Zizan), kata Tai, inilah kali pertama dia diberi peluang memegang watak utama sejak menceburi bidang lakonan pada tahun 2002.

"Teruja dan terima kasih kerana beri peluang kepada saya, tetapi pada masa yang sama saya takut kerana saya memang tidak biasa dengan komedi. Sebelum ini, saya hanya melakonkan watak yang serius sahaja," ujarnya.

Menyambut lebaran kali dengan kelainan, buat pertama kalinya, Tai dan seluruh keluarganya bakal berhari raya di Central Hougang, Singapura yang merupakan kampung halaman ibunya.


Oleh HARYATI KARIM


Thanks to Kosmo! Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jangan Duk Tengok Ajer Yea !!!