Listening to : THR Gegar || Sinar FM || Era FM || Hitz FM || Hot FM || Suria FM
PLEASE CLICK LIKE IF YOU REALLY LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.
THANKS 4 UR LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.

Busuk Dot Org

power by:

Raya pertama sebagai artis

DETIK yang cukup dinantikan oleh semua umat Islam setiap kali menjelangnya Syawal apabila dapat berkumpul dengan keluarga dan sanak-saudara.

Hanya pada waktu begini sahajalah, ia merupakan peluang terbaik untuk kita bertanya khabar, beramah mesra dan menghabiskan masa selepas sekian lama tidak berkumpul bersama.

Begitulah perasaan yang dialami oleh pelakon baru yang sedang meningkat naik, Noor Neelofa Mohd. Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa yang cukup menantikan kehadiran Syawal 1432 Hijrah.

Lantaran kesibukannya dengan pelbagai agenda seni serta membahagikan masa sebagai seorang pelajar juga membuatkan Neelofa tidak berpeluang mencuri masa untuk dihabiskan bersama keluarga tercinta.

SYAWAL 1432 merupakan kali pertama Neelofa menyambutnya sebagai seorang artis.


"Disebabkan itu, saya memang sudah tidak sabar lagi untuk beraya tahun ini. Dilahirkan dalam keluarga yang cukup besar, pastinya kemeriahan itu cukup dirasai setiap kali menjelangnya Aidilfitri.

"Lalu, ia bagaikan satu kewajipan buat saya untuk pulang ke kampung waima dalam apa keadaan sekali pun," jelas Neelofa dalam nada penuh teruja sewaktu dihubungi Hits, baru-baru ini.

Bakal menghabiskan masa di kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan lebih kurang lima hari bermula 27 Ogos ini, Neelofa mahu memanfaatkan setiap detik pada Syawal ini sebaik mungkin.

Ketika ini, dia sendiri sudah dapat membayangkan kemeriahan keluarga dan sanak-saudaranya yang akan sibuk membuat persiapan akhir selain ligat di dapur menyediakan juadah untuk Hari Raya nanti.

"Setiap tahun, rumah keluarga saya akan menjadi tumpuan dan bayangkan, hampir 60 orang ahli keluarga akan bertandang beberapa hari sebelum raya.

"Keluarga ibu saya memang cukup besar kerana dia mempunyai tujuh orang adik-beradik. Jadi, apabila kesemua adik-beradiknya dan sepupu saya berkunjung ke rumah, gegak gempita dibuatnya dengan kekecohan gelagat masing-masing," ujar Neelofa yang merupakan juara Dewi Remaja 2010 ini sambil ketawa.

Menyambung perbualan, aktres jelita ini memberitahu kesemua ahli keluarganya itu akan diberikan skop tugas masing-masing terlebih dahulu dan sebelum memulakan 'gerak gempur' dijalankan seawal 4.30 petang.

Bercerita tentang persiapan rayanya pula, Neelofa tidak menafikan dia merindui detik-detik bersama ibunya yang akan sibuk membeli keperluannya adik-beradik.

Namun, selepas bergelar artis sejak awal tahun ini, anak ketiga daripada sembilan beradik ini menjelaskan dia perlu melakukannya sendiri lantaran sudah mempunyai pendapatan sendiri.

Apabila memperkatakan tentang Aidilfitri, sesuatu yang cukup istimewa buat Neelofa adalah kemeriahan di pagi Syawal itu sendiri.

"Mana tidaknya, dengan bilangan ahli keluarga kami yang ramai itu, semua perlu berbaris panjang sewaktu hendak bersalam dan memohon maaf daripada mereka yang lebih tua. Bila difikirkan balik, memang lucu kerana ia sudah menjadi sebuah pesta pula," katanya yang turut membintangi drama bersiri Tahajjud Cinta yang kini sedang ditayangkan di TV3.

Sekadar bertanya kepada Neelofa apakah dengan statusnya kini sebagai seorang artis, semuanya sudah berubah berbanding sebelum ini?

Bagi Neelofa, tiada banyak yang berubah dalam hidupnya walaupun dia kini adalah seorang artis yang mula meniti populariti dan menjadi bualan ramai.

Selalunya di Kelantan, sambutan Aidiladha lebih dirasai dan dinantikan oleh penduduk di sana serta anak rantau kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Tetapi, berbeza pula dengan Neelofa yang berpendapat sambutan Aidilfitri lebih meriah berbanding Hari Raya Haji.

Dalam perkembangan lain, aktres berusia 22 tahun ini bersyukur kerana tawaran berlakon semakin melimpah-ruah untuknya.

"Saya mahu dikenali sebagai seorang pelakon menerusi hasil kerja saya. Seboleh-bolehnya, cerita kontroversi itu saya mahu elakkan.

"Insya-Allah, saya berharap dengan tayangan Azura 2011 tahun depan akan membuka mata masyarakat terhadap bakat lakonan saya," ujar Neelofa yang akan membintangi filem arahan Hans Isaac, Lemak Kampung Santan tidak lama lagi.


Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM


Thanks to Utusan Malaysia Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jangan Duk Tengok Ajer Yea !!!