Listening to : THR Gegar || Sinar FM || Era FM || Hitz FM || Hot FM || Suria FM
PLEASE CLICK LIKE IF YOU REALLY LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.
THANKS 4 UR LIKE AND SUPPORT THIS BLOG.

Busuk Dot Org

power by:

Tasha suka melaram

Tak kisah tak popular

MEMILIKI wajah cantik persis penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti atau KD tidak pernah membuatkan bintang baru yang semakin menyerlah, Tasha Shilla, 24, perasan dan membangga diri.

Malah, gadis berketurunan Melayu-Jawa yang mula melonjak nama menerusi drama bersiri Gemilang dan Sahara itu mahu dikenali menerusi bakat, bukan taruhan berwajah cantik. Tidak dinafikan, apabila ternampak kelibat Tasha, lelaki mahupun wanita pastinya menoleh beberapa kali. Dalam hati pastinya terdetik `cantik gadis ini, wajah seperti Krisdayanti’.


Namun, kecantikan anugerah Tuhan tidak pernah membuatkannya berhidung tinggi, malah kehidupannya berpijak pada bumi nyata.

Walaupun kini Tasha antara wajah baru yang menjadi buruan pengarah dan produser, malah namanya juga semakin meniti di bibir peminat, Tasha masih seperti dulu. Tiada apa yang menukar kehidupannya kecuali kesibukannya di lokasi penggambaran drama dan filem.

“Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini. Saya hanya berharap peminat menilai bakat saya, bukannya mengukur paras rupa. Kalau ikutkan ramai pelakon baru berwajah cantik menjadi perhatian ramai seperti Nur Fathia, Siti Saleha, Sara Ali dan ramai lagi. Saya kagum dengan kecantikan dan bakat mereka.

“Bagi saya, apa guna berwajah cantik tetapi tiada bakat. Kalau sekadar mahu menyertai dunia lakonan kerana mengejar nama dan populariti, lupakan saja. Tidak ke mana apa yang dikejar itu. Jujurnya, saya tidak kisah sekiranya tidak popular asalkan saya dapat kekal lama dalam perjuangan saya.

“Saya berlakon kerana minat, bukannya mengejar kemewahan hidup. Tidak keterlaluan dikatakan, saya bercita-cita bergelar model, pelakon atau penyanyi sejak kecil lagi. Itulah jawapan saya sekiranya ada yang bertanya apa cita-cita saya. Saya juga suka bergaya dan melaram sejak di bangku sekolah.

“Ibu bapa pula mengikut apa saja permintaan saya. Mereka sanggup menghantar dan mengambil ketika saya menyertai kelas tarian dan vokal. Bagaimanapun, saya tidak sempat mengikuti kelas lakonan, tetapi saya sempat menimba sedikit ilmu lakonan daripada sepupu yang menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Malaya,” kata anak kelahiran Ampang, Selangor itu.

Tasha menjelaskan, dia tidak pernah meletakkan wajah cantik sebagai taruhan untuk memudahkannya memburu watak penting, sebaliknya dia berusaha memperkenalkan diri dengan cara tersendiri iaitu menghantar profil diri kepada syarikat produksi.

Jujurnya, Tasha akui: "Apa yang mahu dimalukan, saya sanggup turun naik menghantar profil diri saya kepada syarikat produksi. Saya berusaha mencari ruang untuk mengetengahkan diri. Tidak guna bergoyang kaki menunggu rezeki datang. Bagi saya, rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Alhamdullilah, dengan usaha tanpa mengenal erti malu untuk memperkenalkan diri akhirnya tawaran datang melimpah ruah, sampaikan tidak menang tangan dibuatnya.


“Alhamdullilah, selepas drama Gemilang dan Sahara yang memperkenalkan diri saya, hingga kini, saya tidak berehat walaupun pada bulan Ramadan. Kini, saya masih bertungkus lumus menghabiskan baki empat episod drama bersiri Ramadan Terakhir arahan Ungku Ismail Aziz yang kini disiarkan setiap Selasa, Rabu, Khamis, jam 10.30 malam di TV3. Selepas Aidilfitri, saya akan kembali ke lokasi penggambaran drama Zikir Untuk Dia.”

Gadis yang pernah membintangi filem Ratu The Movie, Klik 3GP dan Rock 2 itu berkata, dia mungkin agak terlewat menyertai dunia lakonan kerana dulu tidak mendapat keyakinan diri untuk berada di depan kamera.

“Kalau ikutkan saya sudah berjinak dalam dunia lakonan ketika berusia 17 tahun. Saya pernah membintangi filem KL Menjerit 1 dan sitkom Spanar Jaya, tetapi hanya setakat itu kerana saya tidak mendapat keyakinan diri.

“Saya sanggup mencuba walaupun dibayar RM30 saya tetap terima. Bagaimanapun, selepas beberapa tahun saya cuba mencari keyakinan diri dan akhirnya saya berjaya melalui uji bakat filem Ratu The Movie. Bagaimanapun, sehingga kini, saya masih belajar, saya bukanlah pelakon sempurna,” katanya.

INFO: Tasha
NAMA: Natashasheila Abd Razak
NAMA KOMERSIAL: Tasha Shilla
ASAL: Ampang, Selangor
USIA: 24 tahun
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1987
KERJAYA: Model dan pelakon
ADIK BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik
FILEM: KL Menjerit 1, Ratu The Movie, Klik 3GP & Rock 2
DRAMA/TELEFILEM: Spanar Jaya, Dottie, Gemilang, Panggilan Arwah, Mila Kejar Cinta, Sahara, Ku Yakin Berlaku, Mencari Jannah, Cinta Dalam Botol & Ramadan Terakhir.

Busana: Fiza Alzulkanain (017-2597777) & Sola Couture (019-6458618)
Solekan & Dandanan: Rieza Amour (017-2789981).

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Thanks to Berita Harian Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Jangan Duk Tengok Ajer Yea !!!