Tranformasi ke Transformer nie....
Jangan silap yea...
Judul hari ini Tranformasi tapi awal-awal suka hati hendak mengingatkan artikel ini TIDAK ADA atau TIADA kaitan pun dengan dunia politik hanya HANGAT semacam kebelakangan ini. Adakah bahang-bahang PRU sudah bermula? Lupakan semua itu kerana di joey39 ini, tiada ruangan untuk politik.
Jom layan artikel di bawah. Artikel ini adalah hak milik Berita Harian Online.
Tranformasi Stacy
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
DIA sudah dewasa. Lagaknya bukan lagi seperti budak hingusan seperti dulu. Tidak hairan kebelakangan ini Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) perlahan demi perlahan semakin menyerlahkan sisi femininnya. Semuanya seiring peningkatan usia Stacy yang bakal menginjak 21 tahun pada 18 Ogos ini.
Dulu, Stacy lebih cenderung bergaya ranggi dan funky. Malah, gaya energetiknya di pentas menuntut gaya sedemikian. Tetapi sesekali berubah gaya, tak salah pun. Lihat saja sisi kewanitaannya cukup menyerlah dengan rekaan Hazwani Osman pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 pada 3 April lalu.
Cuba bereksprimentasi dan mencari kelainan, Stacy ditampilkan dengan gaya seksi dan feminin. Dengan persalinan sendiri dan koleksi Wanpa, Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2010 ini cukup bertenaga memberikan pos dikehendaki untuk pembaca B*POP.
“Saya tidaklah mahu terlalu drastik berubah dalam soal gaya. Saya selesa dengan gaya lama tapi saya juga terbuka dalam melakukan transformasi. Lagipun saya masih muda dan bebas untuk terus bergaya mengikut kemahuan, peredaran masa dan aliran fesyen.
“Sejujurnya, saya cuba membiasakan diri untuk menjadi lebih feminin. Tak selesa dan agak kekok. Apabila dapat melaram gaun labuh begini terasa sangat diri ini macam Wanita Sabah Terakhir. Terus berangan macam puteri. Tapi saya percaya fesyen cukup melengkapi kerjaya muzik yang saya terokai,” katanya saat asyik ketika wajahnya disolek Rina Derina.
Bertemu Stacy, dia tidak ketinggalan diajukan persoalan mengenai Akim, lelaki yang dikatakan bertakhta di hatinya. Bayangkan tuah gosip cinta itu membuka pintu rezeki untuk mereka berdua dilantik sebagai duta Cornetto Royale Mixed Berry, mengambil alih posisi Mawi, Mila, Dafi dan Shila sebelum ini.
Gara-gara gosip yang terus menjadi tanda tanya itu juga, mereka ditawarkan membintangi sebuah filem muzikal terbitan Tayangan Unggul. Namun, Stacy lebih dulu menolak tawaran itu kerana komitmennya lebih diperlukan untuk penghasilan album studio keduanya selepas Aku Stacy (Mac 2009).
Tak kurang pula yang menebak Stacy berbuat demikian dan meninggalkan Akim keseorangan menerajui filem itu kerana hubungan mereka sebenarnya sudah berakhir. Hanya tersenyum, pemilik nama penuh Stracie Angie Anam ini seperti mampu membaca apa yang terlintas di fikiran wartawan B*POP.
“Pelik pula, jika ada mengandaikan kami sudah putus sedangkan kami tak pernah pun bercinta. Memang benar, ada yang mengandaikan kami bercinta. Tapi itu persepsi masing-masing yang bebas menjatuhkan hukum. Kami tidak mampu menghalang apa cakap-cakap di belakang.
“Yang pastinya, saya masih solo. Kerjaya menjadi nadi utama saya hingga saat ini sejak tiga tahun saya bergelumang dalam dunia hiburan. Begitu juga dengan keluarga. Saya menolak tawaran berlakon filem itu tiada kaitan dengan kisah putus cinta atau apa saja yang seangkatan dengannya.
“Saya minat berlakon. Cuma, sekarang bukan masa sesuai untuk saya mengembangkan sayap dengan lebih serius. Lagipun nyanyian menuntut masa yang sikit berbanding lakonan. Kalau ada rezeki untuk saya berlakon selepas ini, siapa tahu saya mungkin mempertimbangkannya,” kata Stacy yang tidak menafikan berkawan rapat dengan pemenang tempat ketiga AF7 itu.
Tambah Stacy lagi, dia tidak sesekali menafikan gosip membabitkan mereka sedikit sebanyak menjadi tuah buat masing-masing menambah duit untuk masa depan. Stacy juga mengakui dia sudah terbiasa dengan keadaan apabila sering diajukan mengenai Akim kepadanya.
“Dia memang seorang kawan yang baik. Saya pun senang bekerjasama dengannya. Kami pun sudah kenal rapat sejak dua tahun lalu. Sejujurnya, saya tak rimas dikaitkan dengannya. Malah, saya sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan dan persoalan yang akan ditanya wartawan. Orang tanya, saya jawablah yang benar,” katanya yang dijangka menyambung kontrak bersama Astro Entertainment Sdn Bhd yang akan berakhir bulan ini.
Diusik persoalan apakah dia bersedia untuk memikirkan lebih serius mengenai perkahwinan, Stacy pantas menjawab sambil berseloroh, nak kahwin macam mana kalau calon pun tak ada.
Celahnya lagi, kekecewaan ‘sepanjang zaman’ bercinta membuatkan Stacy takut untuk berkahwin atau memikirkan komitmen.
“Sebelum ini saya pernah melalui fasa bercinta dengan lelaki di Sabah sebelum bergelar artis. Malah, saya turut diuji dengan percintaan dengan lelaki Melayu. Semuanya berakhir tidak seperti yang diharapkan. Melalui pengalaman dan penyelidikan lalu, saya jadi malas untuk memikirkan soal cinta lagi,” kata duta kepada produk Clinelle, Intimate dan Silky Girl ini sekali gus cuba mengelak siapa gerangan lelaki Melayu yang dimaksudkan itu.
Stacy tangguh kuliah
BERCERITA mengenai kerjaya seninya, ada sebab untuk pemenang kategori Popstar Anugerah Shout! 2009 ini untuk tersenyum lebar. Pertamanya, dia kini sedang rancak melunaskan baki rakaman album keduanya. Menerusi peranannya sebagai duta Cornetto dia akan tampil dengan dua konsert berasingan.
Albumnya dijangka berada di pasaran sekitar bulan ini. Konsertnya yang dinamakan Konsert Wall’s itu pula sudah diadakan di Setiawangsa pada 11 Jun dan diikuti Johor Bahru pada 18 Jun lalu.
Bukan saja Stacy, konsert yang diadakan secara percuma ini turut menampilkan penyanyi popular lain seperti Akim, kumpulan Sofazr, Tomok, Awi Rafael, Kumpulan Tilu, Azlan & The Typewriter, Shahir dan Black. Single terbarunya, Kisah Dongeng (untuk dimuatkan dalam album kedua) juga sudah mula mencuri perhatian pendengar.
“Untuk album kedua ini, saya jangka memuatkan enam atau tujuh lagu. Antara komposer terbabit selain Edry KRU ialah Omar K dan Taja Meet Uncle Hussain. Dalam album ini konsepnya lebih pelbagai. Ada balada, slow rock, rock dan lagu rancak (upbeat).
“Memang tak dinafikan ramai suka Stacy menyanyikan lagu rancak berbanding balada. Hinggakan ada menganggap lagu sebegitu sudah menjadi forte dan makanan saya. Sebenarnya saya juga boleh menyanyi balada. Album pertama saya ada lagu balada ciptaan Ajai berjudul Cinta Yang Ku Duga,” katanya yang sebelum ini cukup dikenali menerusi lagu Pakai Buang, Gagap dan Jahat.
Di sebalik kesibukannya, ternyata ada harga yang perlu dibayar untuk terus mengukuhkan label namanya di persada seni. Stacy perlu berkorban dengan menangguhkan kuliahnya di Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Cyberjaya dalam kursus diploma Bunyi dan Muzik.
“Dalam kehidupan, tak semua yang kita harap akan menjadi seperti dirancang. Saya tak kesal. Tapi saya rasa ia demi kebaikan saya juga. Tapi itu tidak bererti saya akan terus leka hingga melupakan tanggung jawab sebagai pelajar.
“Pada masa sama, peranan saya sebagai anak juga harus diberi perhatian. Selepas tiga tahun berkecimpung dalam dunia seni, saya dapat membeli rumah dua tingkat di Sabah untuk kemudahan keluarga. Lepas ini saya nak beli kereta pula untuk mereka. Ekonomi keluarga saya pun semakin stabil. Abang saya pun turut membantu,” katanya.
PROFIL
Nama: Stracie Angie Anam
Kelahiran: 18 Ogos 1990
Asal: Kota Kinabalu, Sabaha
Album: The Best Of Stacy (2008), Aku Stacy (2009)
Single Baru: Jahat
Keluarga: Anak kelima daripada enam beradik
Etnik: Kadazan
Pakaian Wanpa: ( wanpa.blogspot.com )
Solekan dan rambut: Rina Derina
No comments:
Post a Comment