SAYA jejaka berumur 23 tahun, bakal graduan jurusan bahasa dan kesusasteraan dari sebuah universiti terkemuka di luar negara. Saya menulis di ruangan ini kerana tidak tahu di mana lagi harus mengadu.
Saya mengenali seorang gadis (biarlah saya namakannya NA) sejak berumur 14 tahun secara kebetulan. Dia seorang yang terlalu cantik dan sempurna. Adiknya adalah kenalan rapat saya semasa di sekolah dulu. Perkenalan kami mendapat restu orang tuanya, bahkan saya dilayan bagai menatang minyak yang penuh.
Hubungan kami semakin kukuh apabila mengikat tali pertunangan walaupun secara tidak rasmi dengan persetujuan orang tuanya selepas hasrat saya untuk mengahwininya dihalang ibu sendiri (atas alasan yang tidak dijelaskan).
Sebelum itu, saya pernah menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital kerana sakit di dada dan jantung, selain masalah percernaan.
Saya disahkan menghidap masalah jantung dan paru-paru serta beberapa penyakit lain. Oleh kerana terlalu cintakannya, saya meminang NA tanpa memikirkan keadaan kesihatan diri. Walaupun jari manisnya tidak bersarungkan cincin pertunangan, tapi kami saling mempercayai walaupun ada beberapa perkara kami tidak sepakat.
Hinggalah penyakit saya semakin melarat walaupun sentiasa mengambil ubat tepat pada masanya. Saya mula tidak mampu melakukan tugasan sebagai seorang pelajar. Di saat itu, terlintas di hati, andai kata saya mengahwininya, saya hanya akan menyusahkan hidupnya.
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk memutuskan tali pertunangan dengan menggunakan helah yang tidak pernah wujud, saya lakukan sedaya upaya agar dia akan membenci diri dan melupakan diri saya.
Cara itu membuahkan hasil walaupun tidak seperti yang diharapkan. Pertunangan kami diputuskan semasa keluarganya dilanda musibah. Saya pula disyaki NA menyimpan hati kepada perempuan lain biarpun perkara sebenar adalah sebaliknya.
Saya memang menyintainya, tapi tidak mahu masa depannya kelam semata-mata kerana saya dan saya pula malu menjelaskan perkara sebenar.
Saya juga tidak mahu NA dan keluarganya menaruh simpati. Kini saya berada dalam serba salah, saya tahu NA masih menaruh harapan walaupun perasaan marah menyelubungi hatinya.
Tolonglah, saya benar-benar buntu. Saya tidak mahu NA memusuhi saya, kerana dari jauh masih lagi menyayanginya.
Serba Salah
Kota Bharu
SIKAP curiga NA terhadap adik memang ada asasnya kerana tidak diberitahu perkara sebenar. Menyembunyikan kebenaran hanya akan menambahkan lagi kedukaan dan prasangka buruk NA dan keluarga terhadap adik.
Adik juga perlu bersifat adil kepada diri dan NA dengan tidak menggunakan helah yang tidak pernah wujud untuk memutuskan pertunangan. Jika berterusan tidak memberitahu penyakit adik, sememangnya perkara yang adik takuti iaitu NA memusuhi adik akan berlaku. Jika adik benar-benar sayangkan NA, adik juga perlu mempunyai keberanian untuk menjelaskan perkara sebenar. Cinta ialah apabila kita tidak menipu diri dan orang yang kita cintai.
Jika cinta NA cukup kental, Dr yakin dia akan menerima adik dalam apa juga keadaan. Bukankah cinta itu buta, magik dan tiada dasarnya. Jika diberitahu dan NA benar-benar mencintai adik, dia akan memberi semangat dan membantu adik menempuhi segala cabaran. Memberi dorongan bukanlah simpati kerana adik tidak mahu keluarganya menaruh simpati. Tiada salahnya juga kalau mereka menaruh simpati kerana mereka menyayangi adik.
Soal jodoh, maut dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan adalah ketentuan Allah. Mempercayai perkara ini akan membuatkan adik tidak terlalu memikirkan perkara-perkara yang belum berlaku. Contohnya, memikirkan masa depan NA kelam semata-mata disebabkan adik. Melalui setiap saat yang berlalu dengan ketabahan serta usaha dan doa bersama-sama orang yang disayangi boleh secara psikologi mengurangkan penderitaan kesakitan dialami.
No comments:
Post a Comment