Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
SEPATUTNYA pelakon Ako Mustapha dan tunangnya, Kartina Abdullah, melangsungkan perkahwinan mereka pada Oktober lalu. Namun, akibat kepadatan jadual kerja Ako yang seakan-akan tidak tahu erti surut, hari bahagia yang ditunggu-tunggu terpaksa ditunda.
Ketika cerita penangguhan perkahwinan Ako mula tersebar, pelbagai andaian dilakukan peminat. Yang pasti, kata pelakon ini, dia terlalu sibuk dengan kerjaya seninya sehinggakan tiada waktu untuk mereka berdua duduk berbincang, seterusnya merancang sebuah majlis perkahwinan yang diimpikan.
"Banyak juga pihak yang menasihatkan kami supaya tidak melangsungkan perkahwinan pada ketika saya dihimpit kerisauan mengenai kerjaya," kata Ako ketika ditemui selepas majlis pratonton siri komedi kanak-kanak lakonannya, Kapten Boleh, di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Kapten Boleh yang dibintangi Ako bersama Adi Iskandar, Puteri Khareeza, Muhammad Daniel, Azman Mohd Hassan dan Alfred Loh akan menemui penonton Astro Ceria mulai 22 November ini. Ia disiarkan setiap Sabtu, jam 12 tengah hari.
Lalu, harapan Ako kini semoga penyatuannya bersama Kartina atau lebih mesra disapa Tina, dapat juga dijadikan kenyataan pada Januari ini.
"Masalahnya, sebaik saja saya menamatkan penggambaran Kapten Boleh dan drama Bara Yang Ku Genggam nanti, saya sudah pun ditawarkan sebuah projek lakonan lain," katanya membayangkan kerja yang tidak terhenti-henti.
Apa pun yang terjadi, Ako tetap melihat dirinya kini sudah cukup bersedia untuk bergelar seorang suami.
"Saya yakin mampu untuk menjadi seorang suami yang baik. Saya juga sudah menemui wanita yang hebat, yang bersedia untuk melakukan sesuatu perkara melebihi keperluan dirinya. Lihatlah bagaimana dia membantu keluarganya. Dia datang daripada keluarga yang bukannya senang. Kualiti yang ada padanya itu membuatkan saya amat mengagumi Tina," ujar pelakon ini.
Tina, wanita dari Sandakan yang bekerja dalam bidang berkaitan perniagaan minyak dan gas kini turut bergelar pembantu peribadi aktor yang bakal muncul bersama filem Histeria tidak lama lagi.
Dia dan tunangnya juga saling berusaha untuk memperbaiki lagi hubungan antara mereka. Tina, katanya, berbeza daripada wanita lain yang lebih mengharapkan golongan lelaki memahami diri mereka.
"Dia wanita yang bersedia untuk menjadi lebih matang. Jika kita tidak mempunyai usaha ke arah menjadi insan lebih dewasa, kita akan menjadi tepu," kata Ako yang mendedahkan, mereka berdua baru saja menghabiskan buku popular, The Five Love Languages, hasil tulisan Gary Chapman.
Buku yang berbicara mengenai bahasa cinta itu, jelasnya, banyak membantu mereka untuk lebih memahami diri masing-masing.
Ditanya penerimaan keluarga terhadap wanita yang bakal menjadi suri di hatinya, Ako berkata, ibu bapa dan saudaranya yang lain begitu menghormati dan menyukai Tina. Ada kalanya, dia sendiri ‘iri hati’ melihat kemesraan antara tunangnya itu bersama mereka.
"Ada masa, Tina pula yang diundang ke majlis anjuran sepupu saya, manakala saya dilupakan begitu saja," kata Ako sambil ketawa kecil.
Pada pertanyaan apakah dia turut terkesan dengan cerita perpisahan artis yang sering saja dapat dibaca di dada akhbar atau majalah, pelakon itu mengaku, perceraian tentu sekali pengalaman yang amat pahit untuk ditelan.
"Begitupun, saya juga mempunyai beberapa rakan yang berpisah dengan pasangan mereka. Ia turut berlaku di kalangan orang biasa di luar sana. Tetapi, apabila ia membabitkan selebriti, tentulah ramai yang ingin mengetahui ceritanya," akur pelakon ini.
Menyentuh soal karier, Ako berkata, dia kini terpaksa bekerja hampir 24 jam sehari kerana berlaku pertindihan jadual penggambaran antara Kapten Boleh dan Bara Yang Ku Genggam, yang dibintanginya bersama Rozita Che Wan.
Katanya, bukanlah dia tidak pernah berdepan situasi di mana dua penggambaran berjalan serentak, namun biasanya pertindihan sebegitu hanyalah untuk jangka masa seminggu. Namun kini, dia harus berkejar ke dua lokasi berasingan selama sebulan.
"Saya sendiri tidak tahu lagi macam mana hendak menyusun jadual penggambaran. Lalu, saya meminta kedua-dua produksi berhubung sesama mereka bagi mendapatkan jadual yang boleh dipersetujui.
"Penat memanglah saya terlalu penat. Bagaimanapun saya mempunyai cara untuk menyimpan tenaga. Saya hanya akan betul-betul sedar apabila beraksi. Selepas itu saya akan berehat kembali," katanya.
Ako turut melahirkan kegembiraannya apabila diberikan peluang menjayakan sebuah produksi untuk kanak-kanak. Kapten Boleh memerlukan banyak kudratnya dan dia juga beberapa kali tercedera sewaktu melakonkan adegan lasak siri komedi aksi terbitan rakan baiknya, Low Ngai Yuen.
sumber:-http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Hip/20081118072027/Article/
No comments:
Post a Comment