NEELOFA bersama dua peguamnya, Ahmad Hidayat dan Mohd. Irwan Mohd. Mubarak semasa sidang media khas, Rabu lalu.
BERBUNYI klise, namun wanita memang golongan yang mudah menghidap penyakit hati. Pergaduhan kalangan artis juga bukan perkara baharu. Boleh dirumuskan sebagai cemburu, dendam dan tidak puas hati, itu faktor utama kepada perbalahan dua wanita cantik, Noor Neelofa Mohd. Nor, 23, dan Nur Anzalna Md. Nasir, 24.
Ketika ini, kudis yang bernanah dan membengkak di hati dua selebriti muda itu seawal mengenal erti populariti menerusi pertandingan Dewi Remaja sesi 2010/2011 ketara membusung. Jika sebelum ini isu berebut gelaran 'dewi' itu sekadar menjadi bisik-bisik dan mengisi plot sensasi tentang mereka, kenyataan terbaharu Anzalna kepada sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu menjadi klimaks kepada api perseteruan mereka.
Tuduhan Anzalna yang secara terang-terangan menyebut nama Neelofa sebagai menghina keluarganya, mewujudkan akaun Facebook membenci Anzalna secara terbuka bersama peminat serta beberapa tuduhan lain dianggap Neelofa sebagai fitnah yang melampau batasan. Dia bimbang impak besar yang akan meruntuhkan nama dan mencalar imejnya yang kini menjadi duta beberapa jenama. Lantas, tindakan menghantar notis seminggu kepada Anzalna dan menuntut bukti dan penjelasan terhadap fitnah yang telah disiarkan dianggap Neelofa sebagai rasional.
Ketawa baca tuntutan Neelofa
Sehari selepas kenyataan rasmi Neelofa yang melantik dua peguam untuk mengendalikan kes berkenaan iaitu, Ahmad Hidayat Md. Noor dan Mohd. Irwan Mohd. Mubarak, Anzalna juga tidak kalah menunjukkan taringnya. Kepada Kosmo! Ahad, bintang drama Indera Joned itu bertegas akan berdepan tuntutan Neelofa secara undang-undang.
"Jika Neelofa boleh mengupah peguam, saya juga telah bercakap dengan peguam untuk menguruskan kes ini. Saya sudah melantik seorang peguam iaitu Fakhrul Azman. Saya percaya Fakhrul banyak pengalaman dalam menyelesaikan kes membabitkan selebriti, tidak sekadar Fazura sahaja bahkan Memey Suhaiza dan Norman Hakim juga.jelas Anzalna sambil memberitahu, dia ada cukup bukti yang Neelofa mahukan.
"Hari ini (Jumaat), saya juga telah menerima dan membaca surat notis yang dihantar oleh peguam Neelofa. Membaca notis tuntutan berkenaan membuatkan saya ketawa. Saya langsung tidak takut dengan tuntutan itu.
"Sekarang terpulang kepada kebijaksanaan peguam saya. Ikutkan, saya mahu selesaikan perkara ini tanpa perlu ke mahkamah tapi kalau Neelofa tetap mahu saman, teruskan, saya sedia lawan,"
Ditanya jika terpaksa ke mahkamah dan berdepan tempoh perbicaraan yang panjang untuk kes yang pasti mengundang sensasi, pelakon Sepah The Movie itu akur demi maruah.
"Sekarang, orang sudah tuduh saya pembawa fitnah, jadi saya kena buktikan perkara itu tidak benar. Kalau ke mahkamah juga, lebih banyak keburukan yang orang tidak tahu akan terbongkar. Tapi, kalau Neelofa mahu menyelesaikan perkara ini secara damai, saya okey. Sekarang Persatuan Seniman juga beri perhatian. Saya jenis yang mudah berurusan,"katanya tanpa rasa bersalah.
Sama ada Anzalna mahupun Neelofa, kedua-dua pelakon yang sedang mencipta nama itu bercakap penuh berani seolah-olah yakin masing-masing berada di pihak yang benar.
"Saya juga tidak bodoh untuk bertindak ambil tindakan tegas dan minta bukti daripada Anzalna jika tahu tindakan saya ini tidak berasas. Saya hantar notis agar Anzalna beri respons, setakat ini belum boleh kata saya mahu saman Anzalna, saya ikut prosedur undang-undang. Bagi saya, perkataan saman itu agak murah, sebab itu saya hantar notis agar Anzalna kemukakan bukti,"jelas Neelofa ketika sidang media khas di One World Hotel, Bandar Utama, Rabu lalu.
No comments:
Post a Comment