SAYA berkahwin setahun lalu dan isteri kini hamil. Saya berumur 28 tahun dan isteri 24 tahun. Selepas sebulan berkahwin, tiba-tiba isteri menceritakan apa yang pernah dilakukan ketika zaman remajanya sebelum kenal dan berkahwin dengan saya.
Walaupun dia masih dara ketika berkahwin dengan saya, perbuatannya dulu (ringan-ringan, keluar dengan ramai lelaki, bersentuhan kulit dengan lelaki bukan muhrim dan berkaraoke) mengecewakan saya.
Hingga sekarang saya tidak dapat melupakan setiap peristiwa yang diceritakannya kepada saya. Saya juga sering membayangkan bagaimana rentetan setiap kejadian itu terjadi.
Saya sudah mendekatkan diri kepada Allah, membaca al-Quran, solat berjemaah dengan isteri, banyak berdoa supaya dihilangkan rasa kecewa dan berusaha menerima qada dan qadar-Nya dengan reda, tapi tetap tak boleh!
Kadangkala saya marah isteri tanpa sebab. Kesian dia. Setahu saya, sepanjang bernafas di bumi Allah ini, saya tak pernah melakukan dosa besar.
Bukankah Allah nyatakan lelaki yang baik untuk wanita yang baik? Mengapa saya diberi isteri sebegini? Adakah ini dugaan Allah terhadap saya? Apa lagi yang saya boleh lakukan untuk mengatasinya?
SUAMI TERTEKAN
Pertama sekali, Dang Setia minta saudara bayangkan diri saudara di tempat isteri. Cuba bayangkan bagaimana perasaan isteri ketika dia membuat keputusan menceritakan sejarah silamnya kepada saudara selepas anda berdua berkahwin?
Dang Setia yakin ia bukan perkara mudah untuknya. Isteri saudara boleh juga mengambil keputusan tidak menceritakan segala-galanya kepada saudara. Jika itu dilakukannya, pasti masalah sekarang tidak timbul dan anda suami isteri mungkin hidup bahagia.
Namun cuba fikir mengapa isteri saudara sanggup mengambil risiko menceritakan kisah silamnya biarpun sedar tindakan itu bukan saja mendedahkan segala keburukan, malah meletakkan dirinya dalam ‘zon bahaya’.
Dang Setia percaya isteri saudara buat begitu kerana terlalu sayang dan cintakan suaminya. Disebabkan cinta mendalam, dia tidak sanggup berbohong dengan saudara. Baginya, merahsiakan kisah silam ibarat berbohong dengan saudara.
Dia tidak mahu hidup dalam situasi berbohong kepada suami sepanjang hayatnya. Isteri lebih suka saudara tahu segala-galanya mengenai dirinya, sama ada yang baik atau buruk.
Ini kerana begitulah kehidupan berumah tangga, baik suami atau isteri harus menerima segala kekurangan dan kelebihan pasangan masing-masing seadanya.
Harapan isteri saudara, selepas menceritakan segala-galanya, saudara menghargai kejujurannya dan lebih menyayanginya.
Namun pada masa sama dia sedar satu lagi kemungkinan ialah kasih saudara kepadanya berkurangan kerana saudara akan melihatnya sebagai wanita yang rendah moral.
Kini, nyata malang menimpa isteri saudara. Apa yang diharapkannya tidak menjadi, sebaliknya apa yang ditakutinya pula berlaku.
Justeru, Dang Setia berharap saudara mampu membuat pertimbangan lebih bijaksana. Saudara tidak sepatutnya melihat sesuatu yang berlaku daripada perspektif saudara saja dan hanya mengutamakan perasaan sendiri, sebaliknya lihat juga apa yang berlaku daripada kaca mata isteri dan ambil kira juga perasaannya.
Nasihat Dang Setia, saudara perlu berlapang dada. Jangan sekali-kali lupa hakikat kehidupan betapa setiap manusia pasti pernah melakukan kesilapan, tapi wajarkah disebabkan kesilapan itu kita dihukum hingga derita sepanjang hayat?
Rasanya, tidak keterlaluan jika Dang Setia kata seandainya saudara tidak memaafkan isteri, ia ibarat saudara menghukumnya di atas kesalahan silam yang dia sendiri menyesalinya. Selagi saudara tidak memaafkannya, selagi itu isteri saudara terus dibelenggu rasa bersalah.
Hakikatnya, dia kini tidak mampu berbuat apa-apa untuk memperbetulkan keadaan, sebaliknya saudara mampu. Yang perlu dilakukan ialah memaafkan kesalahan silam isteri. Ketika itu umurnya masih remaja, belum cukup matang dan dia juga belum mengenali saudara.
Manusia boleh berubah, Dang Setia percaya, isteri saudara kini tidak seperti dulu. Jadi tidak patut menyalahkan takdir kerana dijodohkan dengan isteri saudara.
Memang benar Allah menyatakan lelaki baik untuk wanita baik, namun sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri.
Sebagai contoh, andai kata saudara berkahwin dengan perempuan yang ketika remaja dulu tidak pernah ringan-ringan, keluar dengan ramai lelaki dan berkaraoke, adakah saudara pasti dia dapat menjadi isteri yang baik kepada saudara sebagaimana isteri saudara menjalankan tanggungjawabnya kepada saudara ketika ini?
Sebab itu Islam sebagai agama yang sempurna menekankan umatnya supaya sentiasa saling bermaafan. Allah sendiri bersifat Pengampun, junjungan kita Nabi Muhammad SAW juga begitu, jadi sewajarnya kita mematuhi apa yang diajarkan Islam kepada kita.
Jangan jadi pendendam. Itu sifat syaitan. Saudara mengatakan sering membayangkan rentetan kejadian kisah silam isteri. Bagi Dang Setia, itu juga gangguan syaitan yang sentiasa cuba menyesatkan umat Muhammad SAW dengan apa cara sekalipun.
Saudara juga menyatakan sudah berusaha mendekatkan diri kepada Allah, membaca al-Quran, banyak berdoa tapi masih gagal membuang perasaan kecewa dan pandangan serong terhadap isteri.
Jawapan Dang Setia, ia mungkin disebabkan kekerasan hati saudara yang masih tidak dapat memaafkan isteri. Apabila kita tidak memaafkan seseorang, kita seperti berdendam dengannya.
Apabila berdendam pula, hati kita rosak dan hidup kita tidak tenang kerana kita tidak puas hati selagi dendam tidak dapat dibalas.
Bersihkan hati saudara dengan cara memaafkan isteri serta menerimanya dengan seadanya. Jangan lihat keburukannya saja, sebaliknya kenangkan juga sifat positifnya.
Insya-Allah apabila hati sudah bersih, lebih mudah saudara mendapat manfaat daripada setiap amalan yang saudara lakukan terhadap Allah SWT.
sumber:-http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/DangSetia/20081020124023/Article/indexp_html
No comments:
Post a Comment